Kerajaan nafi aset strategik TH dijual

Kerajaan nafi aset strategik TH dijual

DR. Zulkifli Hasan-JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menafikan dakwaan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir menjual aset strategik Tabung Haji (TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, sebaliknya langkah keputusan penjualan aset TH yang kurang berdaya saing dan bermasalah kepada Syarikat Tujuan Khas (SPV) milik penuh kerajaan iaitu Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) adalah keputusan kolektif Kabinet pada 2018.

“Saya ingin tegaskan bahawa dakwaan Ahmad Badri menjual aset strategik TH adalah tidak benar dan palsu. Apa yang berlaku sebenarnya adalah operasi menyelamat institusi kewangan umat Islam yang terkesan akibat kerakusan penyelewengan dana pendeposit sebelum 2018.

“Tindakan itu diambil selepas Ketua Audit Negara dan Bank Negara Malaysia mendedahkan TH berdepan masalah kewangan serius apabila jurang defisit antara aset dan liabiliti mencecah RM10.9 bilion pada 2018.

“Pada ketika itu juga, berlaku krisis keyakinan apabila sekitar RM6 bilion dikeluarkan pendeposit dalam tempoh singkat, manakala usaha mendapatkan pinjaman siap sedia (standby loan) gagal. Sekiranya TH runtuh, kerajaan berisiko menanggung liabiliti sekitar RM74.5 bilion kerana simpanan di TH dijamin sepenuhnya oleh kerajaan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad berhubung dakwaan bahawa bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan sebelum ini telah menjual aset strategik TH.

Mengulas lanjut, Zulkifli Hasan berkata, kerajaan ketika itu menubuhkan UJSB bagi membeli aset TH yang bermasalah dan kurang berdaya saing pada harga premium, bukannya harga murah, semata-mata untuk menutup jurang defisit RM10.9 bilion serta membolehkan TH terus mengagihkan keuntungan kepada pendeposit.

Katanya, langkah itu juga tidak menyebabkan TH kehilangan aset berkenaan kerana perjanjian dimeterai memperuntukkan hak Right of First Refusal sekali gus membolehkan institusi itu membeli semula aset tersebut apabila kedudukan kewangannya kembali kukuh.

“TH kini mempunyai kapasiti untuk memperoleh semula aset yang dijual sebelum ini tertakluk kepada kriteria pelaburan. Buktinya, tanah Tun Razak Exchange (TRX) yang dijual pada nilai RM400 juta pada 2018 telah dibeli semula pada harga RM270 juta berdasarkan nilai pasaran semasa.

“Ladang kelapa sawit UJ Estates (Holdings) Sdn. Bhd. yang dijual pada nilaian RM800 juta turut dibeli semula tahun ini pada nilai pasaran semasa RM695 juta. Ini bermakna aset berkenaan telah kembali kepada TH, malah pada harga yang menguntungkan TH,” katanya.

Menurut beliau, keputusan menyelamatkan TH pada 2018 terbukti berhasil apabila kedudukan kewangan institusi itu semakin kukuh termasuk peningkatan deposit daripada kira-kira RM69.4 bilion pada 2019 kepada lebih RM95.1 bilion pada pertengahan tahun ini.

Katanya, kadar agihan keuntungan turut meningkat daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.5 peratus bagi 2025 iaitu yang tertinggi dalam tempoh lapan tahun, selain TH mula meningkatkan rizab sebagai sebahagian daripada amalan pengurusan berhemah.

“Oleh kerana ramai yang keliru dan terpedaya dengan dakwaan ini serta terdapat gesaan supaya Laporan Akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH didedahkan kepada umum, perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri untuk diputuskan.

“Janganlah kita biarkan naratif yang memutarbelitkan fakta. Rekod jelas menunjukkan yang merosakkan TH ialah penyelewengan sebelum 2018, manakala kerajaan ketika itu sedaya upaya menyelamatkan institusi terpenting umat Islam di Malaysia ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN