KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan tidak akan mengurangkan sebarang subsidi sedia ada, termasuk subsidi bahan api buat masa ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, pendirian itu kekal meskipun kerajaan terus melaksanakan langkah penyasaran subsidi bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Kerajaan tidak akan kurangkan apa sahaja subsidi yang sedia ada dan ini adalah pendirian kerajaan buat masa ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang meminta kerajaan menjelaskan sama ada terdapat rancangan untuk mengurangkan subsidi kepada rakyat serta usaha kerajaan memberi penerangan berhubung penurunan harga minyak.
Dalam pada itu, Chin Tong berkata, pelaksanaan program Budi Madani (BUDI95) berjaya melindungi rakyat daripada impak kenaikan harga diesel ketika krisis di Asia Barat pada Mac dan April lalu.
Menurut beliau, menerusi mekanisme itu, penerima BUDI 95 terus menikmati harga subsidi yang ditetapkan walaupun harga pasaran melonjak sehingga mencecah kira-kira RM5 seliter.
“Paling penting berkaitan BUDI 95 ialah program ini yang diperkenalkan pada September tahun lalu telah melindungi rakyat Malaysia ketika krisis pada Mac dan April.
“Dengan BUDI 95, harga ditetapkan mengikut kuota yang diberikan dan rakyat tidak terjejas serta tidak dipengaruhi oleh apa yang berlaku di Asia Barat.
“Rakyat hanya membayar RM1.99 seliter walaupun pada Mac dan April harga sebenar mencecah RM5 seliter,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan utama BUDI 95 ialah memastikan kestabilan harga bahan api dan bekalan diesel sepanjang krisis geopolitik di Asia Barat.
“Kerajaan telah memastikan kestabilan harga petrol semasa krisis dan juga memastikan kestabilan bekalan minyak ketika krisis. Itulah keunikan dan kelebihan BUDI 95,” katanya.-UTUSAN










