ALOR SETAR: “Saya nampak ada dua perempuan berpaut pada ranting pokok sebelum selamatkan mereka. Harapan saya ketika itu salah seorang mereka kakak saya tetapi bukan.
Demikian cerita Nur Afizul Abdullah, 21, yang tidak dapat menahan sebak apabila mengenangkan detik cemas bergelut dengan arus deras sebelum pegangan kakaknya terlepas dalam kejadian kepala air di Sungai Sedim, Kulim semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, tiga mangsa disahkan meninggal dunia iaitu Nur Atikah Abdullah, 28; sepupunya, Muhammad Aariz Daniel Md. Radzi, 3, serta seorang lagi mangsa, Muhammad Uzair Ahmadi Hussain, 12.
Menurut Nur Afizul, ketika kejadian, dia baru tiba dari Pulau Pinang untuk menyertai keluarganya berkelah di sungai tersebut kira-kira 30 minit sebelum kepala air melanda.
“Kakak dan kira-kira 15 ahli keluarga lain tiba lebih awal, memang mereka nampak gembira dan ramai yang sedang mandi termasuk adik-adik serta anak saudara saya yang masih kecil,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini awal pagi tadi.
Ujarnya, dia kemudian menunggang motosikal menghala ke bahagian atas untuk mencari lokasi lain untuk mandi kerana di kawasan berkenaan cetek iaitu paras lutut orang dewasa.
“Semasa dalam perjalanan, saya nampak kepala air datang dan terus patah balik kerana sudah rasa tidak sedap hati dan sebaik tiba, keadaan sudah jadi kelam-kabut. Saya nampak kakak sedang bergelut dalam arus sambil pegang sepupu kami yang berusia tiga tahun.
“Saya terus masuk dalam sungai dan pegang kakak sebelum kakak berpaut pada badan saya tetapi pegangan terlepas kerana air terlalu kuat serta terkena batang pokok hanyut,” ujarnya.
Nur Afizul berkata, selepas berjaya menyelamatkan diri, dia menyusuri tebing sungai dan sempat menyelamatkan dua remaja perempuan berusia antara 17 hingga 18 tahun yang berpaut pada akar pokok.
“Saya dengar ada seorang lelaki menjerit meminta tolong untuk selamatkan anak perempuan dan anak saudaranya. Saya nampak ada dua perempuan berpaut pada ranting pokok sebelum selamatkan mereka,” jelasnya.
Katanya, dia kemudian ternampak kakaknya yang telah dinaikkan ke darat dan cuba memberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama kira-kira setengah jam.
“Waktu saya jumpa, tangan kakak dah biru, perut dah kembung dan mata pun dah tak bergerak. Saya buat CPR sambil panggil ‘kakak’ berkali-kali, tetapi dia langsung tidak memberi tindak balas sebelum disahkan meninggal dunia. Kepala kakak berdarah dipercayai akibat terkena batu semasa dihanyutkan arus deras,” katanya. – UTUSAN










