Dalam era globalisasi dan perkembangan teknologi hari ini, penguasaan bahasa Inggeris bukan lagi sekadar satu nilai tambah, sebaliknya keperluan penting dalam kehidupan.
Bahasa Inggeris digunakan secara meluas dalam pendidikan, pekerjaan, perniagaan dan komunikasi antarabangsa, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada mereka yang menguasainya.
Menyedari perkara itu, lebih 40 penduduk Kampung Molisau, Tenghilan, Tamparuli mengambil inisiatif memanfaatkan masa lapang mereka dengan menyertai program English For Employability di Dewan Kampung Molisau, Tenghilan bermula minggu lalu.
Program itu bukan sahaja disertai golongan dewasa dan belia, malah menarik minat pelajar sekolah rendah dan menengah yang sanggup meluangkan masa pada waktu malam untuk belajar.
Program selama lima minggu itu bukan sahaja memberi peluang kepada peserta mempelajari asas bahasa Inggeris sebagai pengisian waktu lapang dengan kegiatan yang mampu membawa perubahan positif kepada kehidupan seseorang.
Program julung kali itu anjuran Jawatankuasa Keselamatan Kemajuan Kampung (JKKK), Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah dan AMC University College.
Tenaga pengajar, Caroline Duliat, berkata ketika ramai memilih menghabiskan waktu malam atau hujung minggu dengan melayari media sosial, peserta program pula memilih menambah ilmu dan meningkatkan kemahiran komunikasi mereka. “Sambutan diterima menunjukkan masyarakat semakin sedar kepentingan bahasa Inggeris dalam kehidupan dan dunia pekerjaan.
“Bahasa Inggeris bukan sahaja membantu seseorang mendapatkan pekerjaan lebih baik, malahan meningkatkan keyakinan diri berkomunikasi dan berinteraksi dengan masyarakat,” katanya.
Pengerusi JKKK Molisau, Elexter Duari berkata, program itu wajar diteruskan kerana mampu memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat terutama golongan muda.
“Pengisian masa lapang dengan kegiatan pembelajaran dapat membantu membentuk generasi lebih berilmu, berdisiplin dan berkeyakinan.
“Daripada anak-anak menghabiskan terlalu banyak waktu bermain telefon atau permainan video, lebih bermanfaat mereka mengikuti program seumpama itu yang dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran,” katanya.
Peserta, Nancy Julian, 53, menyifatkan kelas itu membantunya mengatasi rasa malu untuk bertutur dalam bahasa Inggeris.
“Sebelum ini, saya takut untuk bercakap dalam bahasa Inggeris kerana bimbang tersilap sebutan.
“Selepas mengikuti kelas ini, saya semakin yakin untuk mencuba dan berkomunikasi,” katanya.
Pelajar, Sadiona Rudy, 15, berkata, dia mengambil peluang itu, walaupun belum mencapai usia 18 tahun kerana meminati mata pelajaran bahasa Inggeris.-UTUSAN










