KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sedia menyaman mana-mana pihak yang didakwa sengaja mengeluarkan tuduhan berniat jahat sehingga mencemarkan imej dan reputasi negeri itu.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya memandang serius dakwaan yang mengaitkan Kelantan sebagai negeri yang merekodkan kes jenayah tertinggi termasuk kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak.
Katanya, dakwaan tersebut dibuat tanpa bersandarkan data rasmi kerajaan yang lengkap, malah menggunakan Dewan Rakyat sebagai platform untuk menyebarkannya.
“Kedua-dua individu melemparkan dakwaan tanpa menggunakan sumber data rasmi kerajaan yang lengkap, sedangkan data diterbitkan agensi kerajaan menunjukkan gambaran yang jauh berbeza.
“Kerajaan negeri menegaskan bahawa dakwaan-dakwaan tersebut adalah tidak tepat, tidak berintegriti, mengelirukan dan bermotif politik,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Terdahulu, tular rakaman ucapan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang mendakwa Kelantan mencatat kes jenayah tertinggi dalam negara termasuk kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak disusuli kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, R. S. N. Rayer yang menggambarkan situasi sama ketika membahaskan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli memberitahu, kenyataan yang dibuat dalam Dewan Rakyat oleh seseorang yang dipilih rakyat sepatutnya berasaskan integriti serta fakta yang sahih, lebih-lebih lagi apabila melibatkan sesebuah negeri dalam Persekutuan.
“Jangan menuduh sembarangan, sebaliknya guna data yang tepat. Barulah menunjukkan kita seorang yang berintegriti.
“Bercakap dalam Parlimen ada peraturannya dan tidak boleh mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan ahli-ahli serta rakyat. Sikap sebegitu bagi saya sangat tidak bermaruah,” ujarnya.
020726-Klt-SamanCemar NamaKelantan
MOHAMED Fadzli Hassan (tengah) semas sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan hari ini. – UTUSAN







