PETALING JAYA: Kelantan, Perlis dan Sabah mencatatkan median upah bulanan terendah di negara ini masing-masing sebanyak RM1,827; RM1,855 dan RM2,082 setakat Mac tahun ini.
Jabatan Perangkaan (DOSM) memaklumkan, Kuala Lumpur mencatatkan median upah bulanan tertinggi pada RM4,527, diikuti Selangor (RM3,445) dan Pulau Pinang (RM3,064).
Katanya, sektor perlombongan dan pengkuarian terus merekodkan purata upah bulanan tertinggi diikuti perkhidmatan serta bekalan elektrik, gas, wap dan penyaman udara.
Ujarnya, sektor pertanian dan pembinaan pula kekal antara sektor yang mencatat purata upah lebih rendah berbanding sektor lain.
“Sektor perlombongan dan pengkuarian, yang hanya membentuk 0.5 peratus daripada keseluruhan pekerja formal warganegara, mencatatkan median upah bulanan tertinggi sebanyak RM9,678 pada Mac 2026.
“Sebaliknya, sektor pertanian yang mewakili 1.8 peratus daripada pekerja formal mencatatkan median upah bulanan terendah pada RM2,327, menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun kepada 5.8 peratus dalam tempoh yang sama.
“Secara keseluruhannya, pasaran buruh formal Malaysia terus menunjukkan prestasi yang kukuh dan berdaya tahan pada suku pertama 2026, disokong oleh pertumbuhan bilangan pekerja formal serta peningkatan median upah,” katanya dalam laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Pertama 2026 yang diterbitkan hari ini.
Dalam pada itu, kira-kira 10 peratus pekerja di negara ini menerima pendapatan bulanan sekurang-kurangnya RM11,500 iaitu lebih enam kali ganda berbanding kumpulan bergaji terendah.
Ini menunjukkan bahawa jurang upah antara pekerja formal berpendapatan tertinggi dengan terendah di Malaysia kekal ketara.
DOSM memaklumkan, 10 peratus pekerja formal bergaji terendah pula menerima RM1,700 atau kurang sebulan.
Menurutnya, analisis persentil menunjukkan pekerja pada persentil ke-90 menerima lebih enam kali ganda upah berbanding kumpulan pada persentil ke-10, sekali gus mencerminkan jurang upah yang masih wujud dalam pasaran buruh formal negara.
“Pada masa sama, upah bulanan penengah pekerja formal meningkat kepada RM3,200 pada suku pertama 2026 berbanding RM3,000 bagi tempoh sama tahun lalu.
“Purata upah bulanan pula naik kepada RM3,825, meningkat daripada RM3,648 yang direkodkan pada suku pertama 2025,” katanya.
DOSM berkata, peningkatan itu sejajar dengan pertumbuhan pasaran buruh yang terus disokong oleh aktiviti ekonomi domestik dan permintaan terhadap tenaga kerja.
“Menuju ke hadapan, DOSM akan terus memperkukuh penghasilan statistik pasaran buruh melalui integrasi pelbagai sumber data bagi menyediakan maklumat yang lebih komprehensif, tepat pada masanya dan berasaskan bukti untuk menyokong perancangan serta penggubalan dasar negara,” katanya.-UTUSAN










