Kekangan akses internet bukan penghalang pelajar Semporna

Kekangan akses internet bukan penghalang pelajar Semporna cemerlang

Pelajar cemerlang SPM 2025 mengabadikan gambar kenangan selepas menerima insentif pada Majlis Insentif Kecemerlangan SPM dan STPM 2025 di Semporna, Sabah. UTUSAN/ NASRAWATI SYARIFUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kekangan capaian Internet dan sumber pembelajaran terhad bukan penghalang buat pelajar di daerah Semporna untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.

Kegigihan mereka akhirnya membuahkan hasil apabila seramai 154 pelajar cemerlang daripada sembilan sekolah di Semporna diraikan menerusi pemberian insentif pendidikan sebagai penghargaan atas pencapaian yang diraih.

Antara penerima ialah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bugaya, Mohammad Taufiq Hidayat Mohd Safieh, 20, yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam STPM.

Anak kesembilan daripada 12 beradik itu menyifatkan kejayaan berkenaan sebagai langkah awal bagi merealisasikan impiannya melanjutkan pengajian dalam bidang ekonomi di Universiti Malaya.

Bagaimana pun, perjalanan untuk memperoleh keputusan cemerlang bukan mudah apabila dia perlu berdepan silibus yang mencabar, tekanan mengekalkan prestasi akademik dan kekurangan sumber pembelajaran.

“Sepanjang saya belajar, banyak cabaran yang saya kena hadap iaitu perlu kekalkan prestasi pembelajaran saya pada tahap yang terbaik.

“Apabila tiada capaian internet, saya menggunakan buku rujukan dan banyak bertanya kepada guru serta rakan-rakan untuk mendapatkan penjelasan mengenai topik yang kurang difahami,” katanya kepada Utusan Pelajar.

Bagi memastikan masa yang ada dimanfaatkan sepenuhnya, Mohammad Taufiq Hidayat sering belajar secara berkumpulan dan sanggup berada di sekolah sehingga lewat petang.

SEBAHAGIAN pelajar cemerlang SPM 2025 mempamerkan keputusan peperiksaan serta insentif pendidikan yang diterima pada Majlis Insentif Kecemerlangan Pelajar di Semporna, Sabah.

 

Malah, ada kalanya dia hanya pulang selepas pelajar sesi petang selesai mengikuti pembelajaran kerana mahu terus mengulang kaji bersama rakan-rakannya.

“Saya lebih banyak luangkan masa di sekolah sebab jika mahu bertanya sesuatu yang kurang difahami, saya boleh terus bertemu dengan guru,” katanya.

Mohammad Taufiq Hidayat yang menerima insentif RM1,500 itu berkata, dorongan keluarga menjadi antara kekuatan utama yang membantunya terus berusaha walaupun berdepan keletihan dan tekanan sepanjang tempoh persediaan peperiksaan.

Katanya, sebagai anak daripada keluarga besar, dia mahu kejayaan itu menjadi kebanggaan ibu bapa, selain contoh kepada adik-beradik dan pelajar lain.

“Keluarga sentiasa memberi dorongan dan mengingatkan saya supaya tidak mudah berputus asa serta terus memberikan yang terbaik dalam pelajaran.

“Saya berharap kejayaan ini boleh menjadi contoh kepada adik-beradik saya dan memberi semangat kepada pelajar lain untuk terus mengejar cita-cita walaupun berdepan kekurangan kemudahan,” katanya.

Seorang lagi penerima, Nursyahirah Izzati Sarudin, 19, turut menjadikan pengorbanan ibu bapa dan guru sebagai pendorong utama sehingga memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM.

Dia yang menerima insentif RM1,000 merancang melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur dalam opsyen Matematik bagi merealisasikan cita-citanya menjadi pendidik.

Pelajar cemerlang daripada SMK Agama Tun Sakaran itu berkata, kejayaan bukan hanya bergantung kepada kebijaksanaan, sebaliknya memerlukan disiplin, usaha berterusan dan kekuatan untuk bangkit ketika berdepan tekanan.

“Masa paling sukar adalah apabila saya berasa letih dan tertekan kerana perlu mengulang kaji banyak mata pelajaran dalam masa yang sama.

“Adakalanya usaha yang saya lakukan tidak menunjukkan hasil yang diinginkan sehingga menyebabkan saya hampir berputus asa.

“Namun, saya sentiasa mengingatkan diri tentang matlamat yang mahu dicapai dan ingat pengorbanan ibu bapa dan guru-guru,” katanya.

Bapa Nursyahirah, Sarudin Abdul Sahid, 59, berkata kejayaan anaknya bukan sahaja hasil usaha di sekolah, malah didorong sokongan keluarga yang sentiasa memastikan keperluan pembelajarannya mencukupi.

 

 

 

Katanya, selain menyediakan buku rujukan, dia turut menghantar Nursyahirah mengikuti kelas tuisyen sebagai sokongan tambahan.
“Ketika di rumah, dia tidak mengira masa sama ada siang atau malam, asalkan mempunyai masa, dia akan menelaah buku rujukan selain buku teks sekolah.

“Kami juga menghantarnya mengikuti tuisyen walaupun jadualnya kadang-kadang pada waktu siang atau malam kerana mahu memberikan sokongan kepada pembelajarannya,” katanya.

Sarudin berharap kejayaan anaknya dapat membuka jalan ke arah masa depan yang lebih baik, selain menjadi contoh kepada saudara-mara yang bakal menduduki SPM.

Sementara itu, Presiden Warisan merangkap Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pemberian insentif itu merupakan antara usaha menghargai pencapaian pelajar, selain memberi dorongan kepada mereka bagi meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Bagaimanapun, katanya, sokongan terhadap pelajar cemerlang tidak seharusnya terhenti setakat pemberian insentif, sebaliknya perlu diteruskan menerusi biasiswa, bantuan pendidikan dan kemudahan pembelajaran.

Jelasnya, peluang penajaan juga perlu diperluas kepada pelajar dalam bidang tertentu yang diperlukan negara bagi melahirkan lebih ramai modal insan tempatan berkemahiran.

“Saya berharap pihak bertanggungjawab, bukan sahaja di peringkat negeri, malah nasional dapat memberi dorongan dan penajaan kepada pelajar dalam bidang tertentu yang diperlukan negara.

“Dengan melahirkan lebih ramai modal insan tempatan yang mempunyai ilmu dan kemahiran, kita tidak perlu terlalu bergantung kepada kepakaran dari luar,” katanya.

Dalam majlis berkenaan, pelajar SPM yang memperoleh keputusan 10A dan 11A menerima insentif RM1,000 manakala mereka yang mendapat keputusan antara 9A hingga 6A menerima RM500.

Pelajar STPM yang memperoleh PNGK 4.00 pula menerima insentif RM1,500 sementara mereka yang mencatat PNGK antara 3.50 hingga 3.90 menerima RM1,000. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN