Bagi kebanyakan orang, kedai kopi sekadar tempat menikmati sarapan atau berbual bersama rakan. Namun bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, Azizan Hamzah, kedai kopi adalah ‘pejabat bergerak’ untuknya mendengar sendiri denyut nadi rakyat.
Sejak memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos 2023, rutin harian pemimpin berusia 71 tahun itu hampir tidak pernah berubah.
Hampir setiap pagi, beliau akan singgah ke beberapa kedai kopi di sekitar kawasan DUN bagi bertemu penduduk.

Di situlah pelbagai cerita didengari, daripada isu longkang tersumbat dan jalan rosak sehinggalah masalah kebajikan serta kesempitan hidup yang dihadapi penduduk.
Menjelang tengah hari pula, beliau akan pergi dari rumah ke rumah menyantuni penduduk yang memerlukan bantuan, terutama golongan warga emas, pesakit terlantar dan keluarga kurang berkemampuan.
Jika tiada program rasmi atau jemputan majlis, Azizan akan berada di Pusat Khidmat DUN Bukit Selambau di Ambangan Heights yang sentiasa terbuka kepada orang ramai tanpa mengira fahaman politik.
“Sejak dipilih menjadi wakil rakyat, niat saya hanya satu iaitu membantu seluruh masyarakat di Bukit Selambau. Bagi saya sudah tiada lagi penyokong parti itu atau parti ini selepas pilihan raya.

kerana menjadi tanggungjawab saya untuk membantu mengikut kemampuan yang ada.
“Semuanya saya layan sama rata mengikut keutamaan masalah-masalah mana yang perlu diselesaikan segera,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
TIDAK LIHAT LATAR BELAKANG POLITIK
Bapa kepada 10 cahaya mata itu berkata, pendekatan turun padang secara berterusan membolehkan beliau mengetahui sendiri masalah sebenar yang dihadapi rakyat tanpa hanya bergantung kepada laporan.
Menurut beliau, lima kakitangan di pusat khidmatnya juga diberi pesanan supaya melayani setiap individu yang hadir dengan baik serta menggunakan budi bicara dalam membantu menyelesaikan masalah mereka.
“Saya selalu beritahu kakitangan supaya jangan melihat latar belakang politik sesiapa yang datang. Mereka datang sebagai rakyat yang memerlukan bantuan dan kita perlu berusaha membantu mereka sebaik mungkin,” katanya.
Selain memberi tumpuan kepada aspek kebajikan, Azizan yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Merbok sejak 2013 turut berusaha mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Bukit Selambau.
Katanya, pelbagai program melibatkan masyarakat Melayu, Cina, India dan Siam sentiasa dianjurkan bagi mengeratkan hubungan antara penduduk.
Beliau mengakui tidak pernah berasa kekok menghadiri program di rumah ibadat pelbagai agama kerana baginya tugas sebagai wakil rakyat melangkaui perbezaan kaum dan kepercayaan.
“Saya pergi jika dijemput ke kuil atau wat kerana tanggungjawab saya adalah mendengar dan membantu rakyat. Selagi kehadiran saya boleh menyelesaikan masalah mereka, saya akan hadir,” terangnya.
‘FOOD Bank’
Pada masa sama, beliau terus aktif menyampaikan kuliah agama di masjid dan surau selain mewujudkan pusat pengumpulan makanan atau food bank di rumah-rumah ibadat berkenaan bagi membantu golongan yang memerlukan.
Walaupun Bukit Selambau adalah antara kawasan DUN terbesar di Kedah dengan lebih 80,000 pengundi, Azizan menganggap keluasan kawasan bukan penghalang untuk beliau mendekati rakyat.
Sebaliknya, beliau melihat kepercayaan yang diberikan pengundi sebagai amanah besar yang perlu dipikul sebaik mungkin.
“Alhamdulillah, sepanjang hampir dua tahun ini banyak masalah rakyat dapat kita selesaikan. Kebajikan mereka terus diberi perhatian dan hubungan masyarakat pelbagai kaum juga semakin erat.
“Kita juga berjaya melaksanakan pelbagai projek pembangunan yang sesuai dengan keperluan kawasan perladangan dan perindustrian di Bukit Selambau. Semua usaha ini akan diteruskan kerana amanah sebagai wakil rakyat tidak pernah mengenal waktu,” katanya.-UTUSAN










