KUALA LUMPUR: Kecergasan tidak seharusnya tertumpu kepada pembinaan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu dijadikan medium untuk melahirkan pemimpin berkaliber.
Perunding prestasi tinggi dan pakar transformasi, Syed Mohammad Murad Syed Naseem berkata, gimnasium dan program kejurulatihan perlu melangkaui aspek pembentukan fizikal dengan memberi penekanan kepada penerapan disiplin, daya tahan, akauntabiliti serta keupayaan untuk berfungsi dengan baik dalam situasi bertekanan.
Katanya lagi, industri kecergasan kini semakin memberi tumpuan kepada perubahan fizikal, namun sering mengabaikan potensinya dalam membentuk sahsiah, kepimpinan dan ketahanan mental.
“Apabila kita membentuk seorang pemimpin, impaknya tidak terhenti kepada individu itu sahaja. Pemimpin yang lebih kuat mampu mempengaruhi sesebuah syarikat, keluarga dan komuniti. Keputusan yang dibuat mereka boleh memberi kesan kepada ratusan malah ribuan nyawa.
“Ramai masih mengaitkan kecergasan dengan penurunan berat badan atau pembinaan otot, sedangkan latihan fizikal sepatutnya turut mempersiapkan seseorang untuk kekal tenang ketika berdepan cabaran, membuat keputusan yang tepat serta memimpin melalui teladan,” katanya.

Murad yang merupakan pengasas Badcave Worldwide Sdn Bhd turut berkata, perjalanannya dalam dunia kecergasan bermula di Queens, New York, apabila persekitaran yang mencabar membentuk daya tahan, disiplin dan keupayaan untuk kekal tenang ketika berdepan tekanan sejak usia muda.
Beliau kemudian menjalani latihan Muay Thai di Tiger Muay Thai, Thailand dan kickboxing di Mike’s Gym, Amsterdam, selain menyertai beberapa pertandingan sukan tempur tempatan bagi merasai sendiri pengalaman beraksi di bawah tekanan, bukan untuk mengejar kerjaya sebagai petarung profesional.
“Saya tidak menceburi sukan tempur untuk mengejar gelaran. Saya mahu memahami apa yang berlaku kepada minda dan tubuh apabila tiada lagi tempat untuk berlindung. Pengalaman itu menjadi antara pengajaran terbesar dalam kerjaya saya sebagai jurulatih,” katanya.
Pengalaman itu katanya lagi, meyakinkan beliau bahawa prestasi atlet tidak hanya bergantung kepada kekuatan fizikal semata-mata, sekali gus mendorongnya mendalami bidang latihan kekuatan dan pengkondisian sebelum menamatkan pengajian Ijazah Sarjana dalam Prestasi Tinggi di UCAM, Sepanyol.
Malah katanya lagi, aspek seperti pemulihan, pemakanan, kawalan emosi, disiplin dan psikologi memainkan peranan sama penting dalam membantu seseorang mengekalkan prestasi tinggi, sama ada dalam sukan mahupun kehidupan seharian.-UTUSAN










