CHERAS: Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) berjaya mempertingkatkan kawalan keselamatan sempadan menerusi rampasan bernilai lebih RM77 juta dengan melibatkan 862 kes sejak 2023.
Pengarahnya, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kekuatan kira-kira 25,000 pegawai dan anggota membolehkan KDNKA mengawal keselamatan melibatkan kawasan darat, laut dan udara di seluruh negara.
Menurutnya, pihaknya sentiasa menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi penguat kuasa bagi memastikan kawalan sempadan negara berada pada tahap terbaik.
“Usaha bersepadu itu termasuk pelaksanaan operasi membanteras penyeludupan barangan kawalan yang boleh menjejaskan kepentingan ekonomi serta hasil negara.
“Kejayaan itu dapat dilihat melalui Op Tiris, dimana pihaknya berjaya menyekat cubaan membawa keluar barangan kawalan seperti diesel, petrol, gula, tepung, minyak masak dan gas petroleum cecair (LPG).
“Kejayaan berkenaan membuktikan komitmen KDNKA dalam memastikan tiada ketirisan berlaku selain melindungi kepentingan negara daripada kegiatan penyeludupan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutupan Ujian Rentas Halangan Jabatan KDNKA 2026 di Lapang Sasar Briged Tengah PGA, hari ini
Sebelum ini, Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) merekodkan 862 kes jenayah rentas sempadan dengan 1,403 tangkapan serta membabitkan rampasan bernilai RM77.27 juta bagi tempoh 2023 hingga Jun tahun ini.
Statistik ittu menunjukkan ancaman penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand masih tinggi terutama di Perlis dan Kedah.
Tambah Mohd. Yusri, penugasan membanteras aktiviti penyeludupan bukan hanya tertumpu di sempadan utara Semenanjung, malah turut meliputi kawasan Pantai Timur termasuk Kelantan, Sungai Golok hingga Padang Besar, Perlis.
Katanya, pendekatan sama turut diteruskan di Sabah dan Sarawak menerusi peranan Briged Sabah serta Briged Sarawak bagi memastikan kawalan keselamatan negara sentiasa berada pada tahap terbaik.
“KDNKA sentiasa komited menyahut aspirasi kerajaan dengan melaksanakan segala perancangan bagi membanteras kegiatan jenayah serta memastikan penguatkuasaan undang-undang negara dilaksanakan berdasarkan peruntukan akta yang sedang berkuat kuasa.
“Selain Itu, KDNKA akan terus memperkemaskan strategi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan sempadan negara kekal terpelihara daripada sebarang ancaman,” katanya.-UTUSAN










