Kasih empat sahabat bela nasib warga emas terabai

Kasih empat sahabat bela nasib warga emas terabai

PUSAT Jagaan dan Aktiviti Warga Emas Terengganu, Laman Kasih Budi beroperasi dengan 19 kakitangan dan penghuninya dijaga selama 24 jam setiap hari. – MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Empat sahabat dari Bukit Besar di sini sanggup berkorban masa dan tenaga mereka demi menyantuni kumpulan warga emas yang kehilangan tempat bergantung dengan menubuhkan sebuah pusat penjagaan.

Usaha yang dimulakan sejak 2024 itu bertujuan memastikan golongan itu terus dibela dengan penuh kasih sayang dan penghormatan.

Pengasas Pusat Jagaan dan Aktiviti Warga Emas Terengganu, Laman Kasih Budi, Zanariah Ghani berkata, pusat jagaan itu menem­patkan puluhan penghuni ter­masuk warga emas uzur, in­dividu terlantar dan mangsa keganasan rumah tangga yang memerlukan perlindungan serta perhatian berterusan.

Tambahnya, inisiatif itu juga lahir daripada rasa tanggungjawab sesama Islam apabila melihat masih ramai warga emas beragama Islam terabai tanpa penjagaan sewajarnya.

Pengalaman sebagai pembe­kal peralatan hospital serta penjaga di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Hospital Hulu Terengganu dan Hospital Kemaman banyak membuka mata Zanariah,51, terhadap realiti kehidupan warga emas yang menyentuh hati.

Katanya, antara pengalaman paling sukar dilupakan apabila melihat pesakit warga emas yang dibenarkan keluar hospital namun tiada waris datang men­jemput mereka.

“Mereka hanya menunggu tanpa tahu ke mana harus di­tuju. Situasi itu benar-benar merobek hati saya,” katanya ketika ditemui di Laman Kasih Budi.

Keadaan itu menjadi titik tolak kepada penubuhan Persatuan Kasih Budi Warga Emas Terengganu bersama tiga sahabatnya iaitu Zalifah Zawawi, Nor Farahanis Anuar dan Engku Nurulhuda Engku Din.

Pada awalnya, mereka hanya menjalankan aktiviti kebajikan sebelum berkembang menjadi pusat jagaan sepenuhnya pada Oktober tahun sama.

Masing-masing memainkan peranan tersendiri dengan Zalifah mengurus sumber manusia, Nor Farahanis sebagai kaunselor manakala Engku Nurulhuda bertugas sebagai penjaga.

“Setiap seorang ada kisah hidup tersendiri. Ada yang di­ting­galkan, ada yang tiada waris dan ada juga menjadi mangsa keganasan rumah tangga,” katanya.

‘RUMAH KEDUA’

Kini selepas lebih setahun beroperasi, pusat itu menjadi ‘tempat berteduh’ kepada 24 penghuni berusia antara 21 tahun hingga 95 tahun.

Daripada jumlah itu, 13 penghuni adalah wanita yang tinggal sepenuh masa di pusat berkenaan termasuk lima penghuni terlantar yang memerlukan penjagaan rapi.

Pusat jagaan berkenaan turut diwujudkan bagi membantu anak-anak yang berdepan kekangan masa, tuntutan kerjaya dan komitmen harian sehingga tidak mampu menjaga ibu bapa sepenuh masa.

Menurut Zanariah, terdapat penghuni yang dihantar secara harian atau mingguan oleh keluarga masing-masing bagi mendapatkan penjagaan sementara.

“Ada yang menangis ketika menghantar ibu atau ayah ke sini, bukan kerana tidak menyayangi mereka, tetapi kerana tiada pilihan.

“Di sinilah kami berusaha menjadi ‘keluarga kedua’ yang memberikan kasih sayang, perhatian dan penjagaan kepada mereka,” katanya.

Bayaran bulanan antara RM1,600 hingga RM3,000 di­ke­nakan bergantung kepada tahap kesihatan penghuni khususnya bagi yang memerlukan penjagaan intensif.

Walaupun beroperasi di pre­mis sewaan RM2,500 sebulan dengan kos keseluruhan mencecah RM30,000, Zanariah berkata, cabaran itu tidak pernah mematahkan semangat mereka untuk terus membantu golongan memerlukannya.

“Dengan 19 kakitangan bekerja secara syif, kami memastikan penghuni dijaga selama 24 jam sehari.

“Mereka juga diberi makan empat kali sehari dengan menu khas mengikut keadaan kesihatan masing-masing. Bagi kami, mereka bukan sekadar penghuni, tetapi amanah yang perlu dijaga sebaik mungkin,” katanya.

Menurutnya, sebahagian kos operasi pusat berkenaan turut ditampung melalui sumbangan orang ramai yang prihatin terhadap kebajikan warga emas.

ELAK PENGHUNI RASA TERSISIH

Sementara itu, Nor Farahanis berkata, tugas sebagai kaunselor memerlukan dirinya sentiasa peka terhadap emosi dan keada­an penghuni setiap hari.

Katanya, pendekatan yang digunakan tidak terlalu formal kerana kebanyakan penghuni adalah warga emas yang sudah uzur dan memerlukan layanan lebih lembut serta perhatian emosi.

“Ada hari mereka gembira, ada hari mereka murung. Jadi saya perlu melihat keadaan dan menyesuaikan pendekatan sebelum mengadakan sesi bersama mereka.

“Paling penting adalah memastikan mereka tidak berasa tersisih dan sentiasa mengambil bahagian dalam aktiviti yang diadakan mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.

Perhatian terhadap aspek emosi sangat penting bagi memastikan penghuni tidak mengalami kemurungan selain mem­bantu mereka menjalani kehidupan lebih tenang dan bermakna.

“Setiap pagi, saya pastikan mereka berada di ruang tamu selepas selesai sarapan dan ada aktiviti ringan seperti mendengar bacaan al-Quran. Kita tidak biarkan mereka hanya terbaring di bilik,” katanya.

Nor Farahanis berharap usa­ha kecil yang dimulakan bersama sahabatnya itu mampu memberi sinar baharu kepada warga emas yang pernah berasa terpinggir agar hari-hari mendatang dipenuhi kasih sayang dan rasa dihormati.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN