GURUN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia selepas dipercayai dilanggar sebuah lori dipandu datuknya dalam kejadian di Kampung Bukit Kuang, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 10.20 pagi, mangsa yang mengalami kecederaan parah pada anggota badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika datuk mangsa berusia 61 tahun sedang mengundurkan lori itu di hadapan rumah mereka sebelum terlanggar mangsa.
“Lelaki itu dipercayai tidak menyedari cucunya berada di belakang kenderaan lalu melanggar mangsa. Lori tersebut digunakan untuk membawa baja namun tiada muatan ketika kejadian,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa yang ditemui berkata, mangsa merupakan anak bongsu daripada empat beradik dan baru saja berpindah dari Kuala Lumpur serta tinggal bersama datuk dan neneknya di kampung itu.
“Kami difahamkan ibu mangsa sedang tidur selepas pulang dari tempat kerjanya di sebuah kilang di Sungai Petani. Mangsa dipercayai turut tidur di ruang tamu sebelum disedari berlari keluar mengikut datuknya yang mahu keluar bekerja,” katanya.
Ujarnya, selepas menyedari mangsa tiada di tempat tidur, nenek mangsa mengejutkan anaknya sebelum melihat mangsa berada di bawah tayar lori itu.
“Kami terkejut melihat mangsa dalam keadaan cedera parah sebelum memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya. – UTUSAN








