Kami saling memberi kekuatan - Ibu Ahmad Shah

Kami saling memberi kekuatan – Ibu Ahmad Shah

JENAZAH Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAWANG: Ibu kepada Allahyarham Ahmad Shah Ahmad, Zulfah Fadliani, 47, reda dengan pemergian anaknya dan menyifatkan menantunya, Nurcahaya Ruslan, 30, sebagai sumber kekuatan dalam menghadapi tempoh sukar ini.

Menurut Zulfah, Nurcahaya yang masih berada di Korea Selatan akan menyelesaikan beberapa urusan sebelum pulang ke tanah air.

Katanya, antaranya kerana beberapa barangan peribadi Allahyarham masih belum dibawa pulang, selain perlu menguruskan urusan berkaitan termasuk penjualan kenderaan.

“Nurcahaya berada dalam keadaan baik dan kami saling memberi kekuatan antara satu sama lain. Dia beri kekuatan kepada saya dan saya juga beri kekuatan kepada dia,” katanya ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Puteri di sini malam tadi.

Jelasnya, Nurcahaya dijangka pulang sekitar September.

Zulfah turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu keluarganya sepanjang tempoh getir berkenaan.

“Saya sudah tidak tahu nak kata apa selain terima kasih banyak-banyak. Itu sahaja yang dapat saya ucapkan.

“Saya bersyukur alhamdulillah kerana rakyat Malaysia banyak membantu keluarga kami sehingga urusan anak saya selesai, daripada membawa pulang jenazah ke tanah air hinggalah ke tanah perkuburan.

“Saya sangat-sangat bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu.Semoga Allah membalas segala kebaikan mereka,” ujarnya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Ahmad Shah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Puteri pada pukul 10 malam selepas selesai solat jenazah.

Ahmad Shah maut selepas ditikam dalam pergaduhan di Korea Selatan dan jenazahnya selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 4 petang semalam.

Ahmad Shah, seorang pekerja sektor perkilangan disahkan meninggal dunia di sebuah hospital di daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara selepas cedera parah pada bahagian perut, akibat ditikam dengan pisau.

Mangsa yang menetap di sana sejak 2019 datang ke lokasi kejadian pergaduhan itu bersama isterinya dari kediaman mereka, selepas rakannya yang juga rakyat Malaysia menghubunginya bagi mendapatkan pertolongan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN