ALOR SETAR: Jualan Buku Big Bad Wolf (BBW) kembali ke Kedah tahun ini dengan menawarkan pelbagai pilihan bahan bacaan kepada pengunjung di Stadium Sultan Abdul Halim bermula Khamis ini hingga 9 Ogos depan.
Penganjuran kali ini menampilkan lebih banyak pilihan buku termasuk kira-kira 40 peratus judul baharu yang belum pernah dibawa ke Alor Setar sebelum ini.
Selain buku-buku antarabangsa dan tempatan, BBW turut memperkenalkan koleksi khas penerbit Sidr Productions menerusi siri Little Ummah, yang memfokuskan bahan bacaan berteraskan nilai kekeluargaan dan pendidikan untuk kanak-kanak.
Wakil penganjur, Chloe Lim berkata, usaha itu selaras dengan matlamat memperluaskan akses kepada bahan bacaan berkualiti serta menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
“Sepanjang acara berlangsung, beberapa aktiviti dan program penghargaan kepada pengunjung turut diadakan termasuk kempen BBW Gold Rush yang menawarkan peluang memenangi jongkong emas seberat 10 gram.
“Pelanggan yang berbelanja RM100 dalam satu resit juga layak menyertai cabutan bertuah sepanjang tempoh jualan, selain insentif kepada pengunjung awal dengan menawarkan baucar tunai RM10 kepada 50 pelanggan pertama setiap hari,” katanya.
Sementara itu, pelajar dan warga pendidik boleh menikmati diskaun tambahan lima peratus menerusi promosi EDU5 dengan mengemukakan kad pengenalan akademik yang sah semasa pembayaran. – UTUSAN










