JPN Sabah beri kerjasama siasat insiden pelajar jatuh di sekolah

JPN Sabah beri kerjasama siasat insiden pelajar jatuh di sekolah

WISMA Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPN Sabah)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah akan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dalam siasatan berhubung insiden seorang pelajar yang terjatuh di sebuah sekolah menengah agama di Papar, baru-baru ini.

Dalam kenyataan hari ini, JPN Sabah memaklumkan pihaknya memandang serius kejadian itu dan komited membantu sepanjang proses siasatan bagi memastikan fakta sebenar dapat dikenal pasti.

Katanya, siasatan awal yang dijalankan pihak sekolah mendapati tiada unsur jenayah atau perbuatan buli dikenal pasti setakat ini.

Sejurus kejadian berlaku, pihak sekolah segera memberikan bantuan awal kepada mangsa sebelum memaklumkan insiden itu kepada keluarga dan polis, selain mengawal kawasan bagi mengelakkan suasana panik.

Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan serta menerima rawatan lanjut.

“Laporan perubatan mengesahkan murid terbabit tidak mengalami kecederaan serius dan kini berada dalam keadaan stabil,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan turut memaklumkan, kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan emosi mangsa akan terus dipantau, manakala sokongan psikososial disediakan kepada mangsa serta warga sekolah yang terkesan.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih kerana boleh mengganggu siasatan dan menjejaskan kesejahteraan mangsa, keluarga serta warga sekolah.

Semalam, media melaporkan seorang pelajar tingkatan dua didakwa terjatuh dari bangunan sebuah sekolah menengah agama di Papar pada Rabu lalu. Setakat ini, polis belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN