KUALA LUMPUR: Pengundi Johor bakal membuat pertimbangan terhadap pelbagai faktor menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), termasuk mesej politik, hala tuju dan dasar pembangunan serta hubungan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan sama ada ‘sekepala’ atau sebaliknya.
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Industri Kreatif Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology Kuala Lumpur, Dr Nadiah Abdul Aziz berkata,
kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kempen di Johor boleh dilihat sebagai sebahagian daripada strategi komunikasi politik untuk menyampaikan mesej berkaitan komitmen, pembangunan negeri serta hubungan kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Menurut beliau, dalam komunikasi politik, mesej yang disampaikan oleh pemimpin bukan sahaja bertujuan memberikan maklumat, tetapi turut membentuk persepsi masyarakat terhadap hala tuju dan keutamaan yang ingin diketengahkan.
“Mesej sebegini sebenarmya penting terutamanya kepada pengundi yang masih belum membuat keputusan kerana mereka menilai bukan sahaja pencapaian semasa, tetapi juga untuk mengetahui perancangan, komitmen dan kompetensi seorang pemimpin atau sesebuah parti sekiranya mandat diberikan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) merayu rakyat Johor agar memberikan mandat kepada calon-calon gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Beliau berkata, mandat itu akan dipikul dengan penuh tanggungjawab dan tidak akan disia-siakan.
Dalam pada itu, Nadiah berkata, dalam landskap politik hari ini, masyarakat bukan hanya mengukur sesuatu mesej melalui apa yang disampaikan, tetapi juga menilai kredibiliti seseorang pemimpin bersandarkan kepada rekod prestasi, hala tuju dan dasar yang jelas.
Hal ini kerana, katanya, komunikasi politik yang berkesan bukan hanya untuk mendapatkan sokongan, tetapi lebih penting daripada itu adalah untuk memenangi kepercayaan masyarakat.
“Pada akhirnya, keberkesanan komunikasi bukan sekadar bergantung kepada kekuatan mesej, tetapi juga kepada keupayaan pemimpin dalam membuktikan mesej tersebut melalui tindakan yang konsisten dan responsif terhadap keperluan masyarakat setempat,” katanya. – UTUSAN










