JMG sasar tambah 200,000 tan sumber nadir bumi

JMG sasar tambah 200,000 tan sumber nadir bumi

SYED Ibrahim Syed Noh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) menyasarkan tambahan sebanyak 200,000 tan sumber unsur nadir bumi (REE) terukur menerusi Projek Penilaian Potensi Sumber Unsur Nadir Bumi Fasa 2 yang sedang dilaksanakan di 10 negeri termasuk Terengganu.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) itu penting bagi meningkatkan tahap keyakinan terhadap inventori sumber REE negara, selain menyediakan asas teknikal lebih kukuh untuk perancangan pembangunan industri pada masa hadapan.

Katanya, kerajaan turut mempergiat pembangunan industri REE secara menyeluruh merangkumi keseluruhan rantaian nilai iaitu sektor huluan, pertengahan dan hiliran.

“Pendekatan ini bertujuan memastikan sumber REE negara dibangunkan secara bertanggungjawab dan mampan, di samping memaksimumkan manfaat ekonomi melalui pewujudan industri bernilai tambah tinggi dalam negara.

“Bagi mempercepat dan menyelaras pembangunan industri REE negara, kerajaan juga telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas (STF) Hala Tuju Pembangunan Industri REE Negara yang diterajui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

“STF ini berperanan sebagai platform penyelarasan strategik antara kementerian, agensi dan Kerajaan Negeri dalam merangka hala tuju pembangunan keseluruhan rantaian nilai REE negara,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Hussin Ismail berhubung status terkini perancangan pembangunan REE negara, kemajuan pelaksanaannya serta sama ada negeri-negeri pemilik rizab REE seperti Terengganu dilibatkan secara aktif dalam pembangunan industri berkenaan.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, kerajaan kini sedang mempergiat usaha membangunkan keupayaan teknologi pemprosesan dan pengasingan REE dalam negara termasuk melalui pembangunan kapasiti tempatan dan kerjasama teknologi strategik dengan Amerika Syarikat, Jepun dan Perancis.

Katanya, kerajaan juga terus melibatkan kerajaan negeri, termasuk Terengganu dalam pembangunan industri REE memandangkan urusan tanah dan sumber mineral berada di bawah bidang kuasa negeri.

“Di peringkat hiliran pula, usaha sedang dilaksanakan untuk menarik dan menggalakkan pelaburan dalam penghasilan produk REE bernilai tinggi khususnya magnet kekal berprestasi tinggi atau super magnet, supaya lebih banyak nilai ekonomi daripada sumber REE dapat dikekalkan dalam negara.

“Kerajaan sentiasa melibatkan kerajaan negeri termasuk Terengganu melalui penentuan kawasan keutamaan bagi kerja-kerja penilaian sumber, pelaksanaan projek eksplorasi, perkongsian data dan maklumat teknikal serta penyelarasan perancangan dan pelaksanaan projek antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan pembangunan industri REE dilaksanakan secara tersusun selaras dengan pembahagian bidang kuasa Persekutuan dan negeri serta mengambil kira kepentingan negeri sebagai pemilik sumber,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN