Jelmaan’ bintang Dunia hangatkan bola sepak MSSD Jerantut

Jelmaan’ bintang Piala Dunia FIFA 2026 hangatkan bola sepak MSSD Jerantut

PEMAIN Sekolah Menengah Jerantut meraikan kejayaan sebagai juara kejohanan bola sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Jerantut bawah 12 tahun di Jerantut, Pahang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTANDINGAN Bola Sepak Piala Dunia FIFA 2026 melatari kehangatan,semangat pemain bola sepak bersama guru masing-masing semasa MSSD Jerantut Pahang baru-baru ini.

Kejohanan berlangsung di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut dan SK Jerantut Jaya, bandar Jerantut menemukan empat pasukan sekolah rendah berentap yang mewakili Zon Pulau Tawar, Zon Damak, Zon Tahan dan Zon Pedah.

Acara itu lebih menarik dan mendapat sambutan kalangan penonton terdiri daripada guru dan ibu bapa apabila dapat menyaksikan ‘jelmaan’ bintang bola sepak terkenal dunia seperti Cristiano Ronaldo, Lionel Messi, Mohamed Salah, Erling Haaland, Harry Kane dan pemain lain beraksi dengan lincah serta mempamerkan semangat berpasukan dan kemahiran mengawal bola untuk menjaringkan gol.

 

ROS ADAM FAHMISenario berkenaan menggamit suasana riuh-rendah pekikan dan sokongan guru, ibu bapa serta rakan di luar padang apabila melihat pemain pasukan masing-masing jelmaan bintang terkenal itu menggelecek bola, melakukan tendangan dan ketika berjaya menjaringkan gol.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu, penyudahnya pasukan SK Jerantut berjaya menumpaskan SK Jerantut Jaya dalam pertarungan sengit dengan jaringan 2 – 0.

 

 

 

Terdahulu, pada peringkat separuh akhir, SK Jerantut cuma menang tipis mengalahkan pasukan SK Kuala Tahan (1 – 0), manakala pada peringkat suku akhir pula menundukkan SK Bandar juga dengan jaringan 1 – 0.

Dalam pada itu, pemain bawah 12 tahun SK Jerantut, Ros Adam Fahmi yang bermain di posisi sayap kanan dipilih sebagai pemain terbaik bawah 12 tahun MSSD Jerantut sekali gus menganggotai skuad utama daerah tersebut ke pertandingan yang sama pada peringkat Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP) tidak lama lagi.

Bercakap kepada Utusan Pelajar, Guru Besar SK Jerantut, Muhammad Faiz Mahayudin berkata, Ros Adam telah menjaringkan dua gol pada pertandingan akhir dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan tersebut dan lebih menarik dia bersama enam orang pemain sekolah itu dipanggil menyertai sesi pemilihan pasukan negeri (MSSP Pahang).

“Hal ini membuktikan kualiti dan potensi pemain sekolah ini hasil daripada persiapan awal serta latihan intensif, bersistematik, konsisten dan berterusan sepanjang masa sejak tahun lalu.

“Kejuaraan peringkat daerah yang diperoleh juga merupakan sokongan serta komitmen tinggi jurulatih, guru, ibu bapa serta para pemain sendiri yang penuh disiplin dan bersemangat ketika bermain,” katanya di SK Jerantut, bandar Jerantut baru-baru ini.

Menurut Muhammad Faiz, kemenangan pasukan itu bukan hadir secara kebetulan, sebaliknya lahir daripada perancangan yang rapi, disiplin dan kerja keras semua pihak.

“Saya amat berharap Ros Adam serta enam pemain sekolah ini yang terpilih ke sesi pemilihan pasukan MSSP Pahang dapat memanfaatkan peluang ini untuk mengharumkan nama daerah Jerantut dan Pahang.” katanya.

Berkongsi pengalaman yang sama, jurulatih bola sepak sekolah, Muhammad Hafizul Bazli berkata, hasrat dan inisiatif Guru Besar sendiri yang mahu menjulang kejayaan sekolah itu serta dikenali dalam sukan bola sepak, beliau telah menubuhkan Akademi Jerantz United bagi membantu pasukan sekolah menyertai kejohanan di luar peringkat usia 12 tahun.

“Selain menjalani latihan pada sebelah petang dan hujung minggu, pasukan ini menyertai beberapa kejohanan jemputan di setiap daerah Pahang sebagai pendedahan kepada suasana pertandingan sebenar.

“Pendekatan ini berjaya menyerap aspek teknikal, taktikal, kecergasan dan mental pemain sehingga membuahkan hasil dengan kejayaan pertama muncul juara pada peringkat MSSD Jerantut,” katanya.

Sementara itu, Ros Adam berkata, dia dan rakannya bersyukur dan berpuas hati kerana pasukan sekolah muncul juara pada peringkat MSSD Jerantut.

“Lebih manis, saya dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan dan penghargaan ini sebagai batu loncatan serta galakan untuk terus gigih berlatih serta membuktikan kemahiran supaya terpilih mewaliki Pahang dalam sukan ini,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN