Jelapang Padi Run 2026: 3,200 berlari sambil nikmati suasana bendang

Jelapang Padi Run 2026: 3,200 berlari sambil nikmati suasana bendang

Seramai 3,200 peserta menyertai acara larian komuniti Jelapang Padi Run 2026 sebagai langkah mempromosikan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anggota koperasi dan masyarakat setempat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 3,200 peserta menyertai acara larian komuniti Jelapang Padi Run 2026 sebagai langkah mempromosikan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anggota koperasi dan masyarakat setempat.

Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata, program anjuran Koperasi Sahabat Ama­nah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) itu turut memberi peluang kepada peserta menikmati pengalaman berlari dalam suasana sawah yang menghijau sambil menghayati keindahan landskap di kawasan bendang.

Menurut beliau, penganjuran acara di Pantai Murni, Yan, Kedah itu bukan sahaja mempromosikan sektor pelancongan berasaskan agro, malah memperkenalkan warisan budaya dan identiti masyarakat setempat kepada orang ramai.

“Larian ini menawarkan pengalaman larian yang berbeza apabila peserta berpeluang menikmati panorama sawah padi yang menghijau di samping menghayati keunikan budaya tempatan.

“Ia turut menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan anggota koperasi dan masyarakat, selain menggalakkan gaya hidup aktif serta sihat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi menambahkan kemeriahan acara, peserta digalakkan mengenakan aksesori atau pakaian berinspirasikan tradisional seperti kain pelikat, kain batik, sarung, topi jerami atau elemen warisan lain sepanjang larian.

Katanya, konsep tersebut bukan sahaja menyerlahkan identiti budaya tempatan, malah menjadikan Jelapang Padi Run 2026 sebagai platform mempromosikan warisan dan keunikan komuniti Jelapang Padi kepada peserta dari seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Norihan berkata, pihaknya memperuntukkan RM2 juta bagi melancarkan jenama baharu dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 100 Stock Keeping Unit (SKU) produk usahawan anggotanya menembusi rangkaian kedai runcit terpilih menjelang penghujung tahun ini.

Katanya, pelancaran jenama ‘Sahabat Brand’ membuktikan komitmen koperasi dalam memperkukuh pembangunan keusahawanan selain menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi komuniti.

Menurut beliau, kesedaran masyarakat terhadap peranan koperasi sebagai platform pembangunan perniagaan perlu terus diperkasakan kerana konsep berkoperasi membolehkan usahawan berkembang secara bersama dan saling menyokong.

“Kesedaran dalam kalangan rakyat bahawa koperasi merupakan antara wadah penting untuk membangunkan perniagaan perlu terus dipupuk. Melalui koperasi, rakyat dapat bergerak bersama-sama bagi memperkukuh perniagaan masing-masing.

“Pada masa sama, konsep berkoperasi bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama anggota, malah menjadi kekuatan yang mampu meningkatkan daya saing perniagaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN