ISKANDAR PUTERI: Inisiatif kerajaan negeri mewujudkan jawatan timbalan pengerusi jawatankuasa diyakini akan memastikan segala dasar dan polisi yang dirangka dapat dilaksanakan sebaiknya demi kesejahteraan rakyat Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali berkata, kerjasama berpasukan lebih ramai pihak akan memberi impak positif kepada golongan sasar mengikut portfolio masing-masing.
“Banyak inisiatif yang hendak dilaksana dengan manifesto yang telah dijanjikan kepada rakyat. Jadi dengan adanya timbalan, sudah tentu ia akan membantu kita untuk ‘delegate’ tugas yang bersesuaian.
“Exco dan timbalan exco akan bekerja sebagai satu pasukan agar kita dapat bertemu dengan lebih ramai pihak, mendapat maklum balas lebih banyak, jadi saya rasa langkah ini akan menguatkan lagi pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Amanat dan Aspirasi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor bersama lebih 20 ketua jabatan dan agensi di Pejabat Johor Talent Development Council (JTDC), di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, V. Rugendran.
Tambah Dr. Muhammad Naqib, aspek pendidikan merupakan salah satu asas penting kepada pembangunan sesebuah bangsa dan kemajuan negeri serta negara.
“Saya melihat pendidikan ini adalah asas penting untuk kita berdepan dengan kehidupan dunia yang sangat mencabar di masa depan.
“Kita telah selesai mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pertama penggal ini yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Amanat beliau jelas iaitu mandat diberi rakyat perlu diterjemah sebaik mungkin.
“Ini bermaksud kita kena berusaha mencari apa sahaja jalan untuk membantu rakyat, tanpa mengira latar belakang mereka, kerana mereka semua rakyat Johor,” katanya.
Sebelum ini, Onn Hafiz mengumumkan pelantikan 10 timbalan pengerusi jawatankuasa bertujuan memastikan pembangunan seimbang dan inklusif di setiap daerah negeri dan, seiring agenda pembangunan pesat dan mencabar.-UTUSAN










