PETALING JAYA: Pengundi Johor perlu menolak Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai isyarat bahawa kedudukan Perdana Menteri bukan jaminan sokongan rakyat.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tetap memegang jawatan itu sama ada PH menang atau kalah pada PRN Johor menunjukkan sikap sombong.
“PM10 sombong. Dia kata menang, kalah PRN Johor, dia tetap PM. Sombong!
“Jadi Bangsa Johor, ikut macam Sabah. Kalahkan PH. Bagi mereka kosong!,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, akhbar ini melaporkan, Anwar berkata, tiada keperluan untuk pihak lawan berkempen secara agresif kerana beliau tetap Perdana Menteri sama ada PH menang atau kalah pada PRN Johor.
Anwar berkata, mana-mana pihak tidak perlu menggunakan kata-kata kurang enak kerana kehadirannya ke negeri itu bukan bertujuan untuk mencari gaduh.
Tun Faisal berkata, kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pengerusi PH tidak memberi makna sekiranya gabungan itu ditolak pengundi.
Katanya, pengundi Johor boleh mengambil contoh keputusan di Sabah apabila DAP gagal memperoleh sebarang kerusi manakala PKR hanya memenangi satu kerusi.
“Apa makna jadi PM, jadi kerajaan, jadi Presiden PKR, jadi Pengerusi PH kalau Pakatan Harapan kalah teruk macam di Sabah.
“Tak ada makna jadi PM, jadi kerajaan kalau Bangsa Johor ikut macam orang Sabah bagi DAP kosong dan bagi PKR satu kerusi,” katanya.
Tun Faisal berkata, formula untuk mengubah Johor adalah dengan mengurangkan jumlah wakil rakyat PH dan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, langkah itu penting bagi menghilangkan kedudukan majoriti besar UMNO-BN dalam DUN Johor.
“Formula untuk ubah Johor, pertama, kurangkan jumlah wakil rakyat PH.
“Kedua, kurangkan wakil rakyat BN dan hilangkan supermajority UMNO-BN dalam Dewan Undangan Negeri,” katanya. – UTUSAN










