PETALING JAYA: Kerosakan pada jaring keselamatan (netting) di cerun batu dikenal pasti menjadi punca kejadian runtuhan batu di Jalan Bukit Permai, Taman Bukit Permai, Ampang dekat sini, hari ini.
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kejadian itu sebelum pemeriksaan mendapati jaring keselamatan sedia ada gagal menahan bongkah batu sehingga mengakibatkan batuan runtuh ke atas jalan.
Bagaimanapun, kejadian tersebut tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa, malah tiada kerosakan harta benda dilaporkan.
“Kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan telah dilaksanakan segera bagi memastikan laluan tidak terhalang selain menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak meletakkan kenderaan berhampiran lokasi kejadian bagi mengelakkan sebarang risiko,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebagai langkah pencegahan, jaring keselamatan yang rosak akan diganti dengan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Sementara itu kerja-kerja penyelenggaraan cerun termasuk pembersihan pokok pada jaring cerun, telah dilaksanakan pada Mac lalu sebagai sebahagian daripada program penyelenggaraan berkala.
MPAJ komited melaksanakan penyelenggaraan cerun secara berterusan di seluruh kawasan pentadbirannya bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini, khususnya di kawasan cerun berbatu.
Orang ramai terutama penduduk Ampang diminta segera melaporkan sebarang tanda awal kejadian jatuhan batu atau kerosakan cerun kepada Unit Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) MPAJ dengan menghubungi 03-4285 7333/1800-22-8100.-UTUSAN










