Jangan polemik lagi, kalau nak jadi menteri cakap dengan PM - Zambry

Jangan polemik lagi, kalau nak jadi menteri cakap dengan PM – Zambry

ZAMBRY ABDUL KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Mungkin dia nak jadi menteri. Kalau dia nak jadi menteri, dia pergi cakap dengan PM,” kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Itu nada sindir Zambry kepada Datuk Mahfuz Omar susulan kenyataan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu yang menggesa Menteri dan timbalan menteri BN supaya berundur daripada Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, Mahfuz sendiri boleh berunding terus dengan Perdana Menteri jika mempunyai hasrat untuk dilantik sebagai menteri.

“Isu yang dibangkitkan Mahfuz itu tidak sepatutnya terus dipolemikkan memandangkan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini telah memberikan penjelasan mengenainya,” katanya ketika ditemui selepas sesi syarahan umum ahli akademik Universiti Colombia, Joseph A.Massad di sini, hari ini.

Terdahulu, Mahfuz dalam kenyataan menggesa BN supaya berundur daripada Kerajaan Perpaduan jika benar berprinsip, bukannya mencabar Perdana Menteri memecat menteri dan timbalan menteri daripada parti itu.

Katanya, beliau tidak berminat untuk melayan cabaran atau kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan politik ketika kempen PRN sedang berlangsung.

Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, BN akan terus berpegang kepada pendirian yang telah diputuskan pimpinan tertinggi parti dan memberi tumpuan kepada usaha mendekati pengundi.

“Kita telah pun disebutkan bahawa kita bertanding dalam pilihan raya negeri dalam keadaan yang baik dan berhemah. Kita tidak mahu mewujudkan permusuhan dengan mana-mana pihak.

“Jadi gunakan itu sebagai asas. Tidak perlu lagi hendak lempar cabaran itu atau cabaran ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan tiada isu boikot atau pertelingkahan dengan mana-mana pihak dalam kempen PRN Johor dan Negeri Sembilan setakat ini.

Mengulas mengenai hubungan dan kerjasama politik yang sedang berlangsung dalam PRN, Zambry berkata, semua pihak seharusnya menghormati keputusan yang telah dibuat tanpa menimbulkan spekulasi yang boleh mengganggu tumpuan kempen.

“Itu adalah apa yang telah disebutkan dalam pilihan raya ini. Apa yang telah diputuskan, itulah yang kita teruskan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN