PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak, Zulin Aziz mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang prosedur suntikan kurus.
Zulin atau Farah Azleenda Abdul Aziz, 37, berkata, orang ramai tidak perlu terikut-ikut dengan trend suntikan kurus di media sosial tanpa memikirkan kesan buruknya.
Menurutnya, sebarang prosedur rawatan yang melibatkan perubahan fizikal sepatutnya dilakukan atas saranan dan konsultasi daripada pakar perubatan yang sah.
“Berkenaan dengan trend orang menggunakan pelbagai jenis suntikan kurus sekarang seperti Mounjaro atau Ozempic, saya rasa setiap individu mempunyai perjalanan yang berbeza. Saya sendiri tidak suka untuk menghakimi pilihan hidup orang lain.
“Mereka mungkin mempunyai sebab tersendiri atau telah mendapat nasihat daripada doktor terlebih dahulu. Kalau dia mempunyai masalah kesihatan dan doktor mencadangkan rawatan tersebut, itu adalah perkara yang berbeza,” katanya.
Mengulas lanjut, Zulin menegaskan bahawa langkah yang paling penting sebelum memulakan sebarang rawatan adalah dengan mengadakan sesi perbincangan bersama pakar.
“Perkara yang paling penting ialah jangan sesekali mengikut trend di media sosial tanpa mendapat nasihat daripada pakar. Konsultasi bersama dengan doktor adalah langkah yang paling utama untuk semua orang,” katanya.
Baru-baru ini, Mounjaro dan Ozempic telah menjadi trend yang sangat popular untuk kurus, walaupun ubat ini sebenarnya dicipta khusus untuk merawat penyakit diabetes dan wajib digunakan di bawah pengawasan doktor yang ketat.
Untuk rekod, Zulin merupakan seorang selebriti versatil yang pernah membintangi drama Begitukah Cinta dan menjadi peserta program Muzikal Lawak Superstar 2024, di samping aktif berkongsi ilmu serta perjalanan mendapatkan berat badan ideal secara eksklusif bersama para pengikutnya di saluran WhatsApp. -UTUSAN










