PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) digesa memperhebat siasatan terhadap dakwaan amalan ‘counter setting’ di pintu masuk antarabangsa negara yang didakwa membuka ruang kepada kemasukan warga asing secara tidak sah.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, dakwaan itu tidak boleh dipandang ringan memandangkan ia daripada maklumat sumber dalaman penguatkuasaan yang mempunyai pengetahuan mengenai situasi sebenar di lapangan.
Katanya, maklumat yang diterima adalah konsisten dan perlu disahkan atau disangkal menerusi siasatan profesional oleh pihak berkuasa.
“MCW mempersoalkan keberkesanan operasi besar-besaran memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) sekiranya kebocoran di pintu masuk negara sendiri tidak ditangani sehingga ke akar umbi.
“Jangan hanya tangkap PATI yang sudah bolos. Siasat siapa yang memboloskan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jais berkata, sekiranya warga asing memasuki negara sebagai pelancong tetapi kemudiannya tinggal dan bekerja secara tidak sah, pihak berkuasa perlu menyiasat keseluruhan rantaian kemasukan mereka.
Jelasnya, siasatan perlu merangkumi sama ada pemeriksaan di pintu masuk dilakukan mengikut prosedur, kewujudan ejen atau sindiket serta kemungkinan penglibatan pegawai yang bersekongkol atau menerima rasuah.
Sehubungan itu, beliau menggesa SPRM melaksanakan audit forensik berasaskan data dengan memadankan rekod kemasukan warga asing, kaunter pemeriksaan yang digunakan, pegawai bertugas, tempoh kelulusan, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta corak perjalanan.
“Sebarang pola luar biasa yang berulang perlu dijadikan petunjuk awal untuk siasatan lanjut,” katanya.
MCW turut menggesa saluran yang selamat disediakan kepada pegawai berintegriti yang mempunyai maklumat dalaman supaya mereka dapat tampil menyalurkan maklumat tanpa rasa bimbang.
Menurutnya, sekiranya dakwaan mengenai kemungkinan berlaku rasuah pernah disalurkan kepada pihak berkuasa tetapi tidak diambil tindakan sewajarnya, penjelasan perlu diberikan sama ada ia telah disiasat, hasil siasatan atau sebab tindakan tidak diambil.
Bagaimanapun, tegasnya, MCW tidak menuduh keseluruhan warga Imigresen terbabit dalam salah laku berkenaan.
Sebaliknya, katanya, tindakan tegas terhadap segelintir pegawai yang menyalahgunakan kuasa penting bagi melindungi majoriti anggota penguat kuasa yang menjalankan amanah dengan jujur.
“Rasuah di pintu masuk negara bukan sekadar salah laku individu, sebaliknya merupakan pengkhianatan terhadap amanah keselamatan dan kedaulatan negara.
“Justeru, hentikan budaya menangkap di hilir tetapi membiarkan kebocoran di hulu. Jika rasuah membuka pintu masuk negara, maka rasuah itulah yang mesti ditutup terlebih dahulu,” katanya.- UTUSAN










