KOTA KINABALU: Pembinaan semula Jambatan Sungai Damit, Tuaran dijadualkan siap sepenuhnya pada 9 Ogos 2027.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata kerja baik pulih Jambatan Low Level Crossing Tamparuli pula dijadualkan siap penghujung September 2026.
“Perkara itu dimaklumkan Kementerian Kerja Raya dan Utiliti (KKRU) Sabah dalam jawapan bertulis terhadap pertanyaan lisan saya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Madius bertanya kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri KKRU, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam mengenai pembinaan Jambatan Sungai Damit yang baharu dan kerja baik pulih Jambatan Low Level Crossing Tamparuli.
Katanya, KKRU memaklumkan pembinaan semula jambatan Sungai Damit, Tuaran bermula pada 10 Februari 2026.
“Kerja semasa di tapak adalah membuka parapet besi, lampu jambatan dan menanggalkan lantai konkrit. Penyediaan struktur besi utama sedang giat dilaksanakan di kilang,” katanya.
Mengenai jambatan low level crossing Tamparuli, KKRU memberitahu kerja pembaikan sedang dilaksanakan dan dijadualkan siap sepenuhnya penghujung September 2026.
“Jambatan itu dijangka dibuka semula kepada pengguna awal Oktober 2026,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, projek jalan raya membabitkan jajaran bulatan Berungis ke Tebobon mengikut pakej kerja Lebuh Raya Pan Borneo dijangka siap sepenuhnya pada 2028.
Madius berkata, sebahagian jajaran lebuh raya itu dari Petronas Tebobon hingga Simpang Norowot akan dibuka kepada lalu lintas tahun ini.
“Pembukaan jajaran itu tertakluk kepada penyempurnaan kerja pembinaan bagi seksyen berkenaan dan kelulusan pegawai penguasa sebelum dibuka kepada pengguna jalan.” katanya.-UTUSAN










