Jalaluddin antara calon Menteri Besar

Jalaluddin antara calon Menteri Besar

HAMZAH Zainudin ketika berucap dalam ceramah umum di Bilik Gerakan BN Felcra Lakai, Jelebu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dilihat antara calon Menteri Besar sekiranya Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos ini.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin bagaimanapun berkata, BN dan PN perlu mengadakan perbincangan terlebih dahulu bagi memuktamadkan calon Menteri Besar sebelum diumumkan kepada rakyat.

Katanya, penentuan calon Menteri Besar Negeri Sembilan ketika ini mempunyai sedikit cabaran namun memberi jaminan PN akan menyokong sesiapa sahaja calon yang diputuskan daripada BN untuk menggalas jawatan tersebut.

“Kalau boleh, pemimpin dua kumpulan ‘biru’ ini duduk dan fikirkan siapakah yang boleh kita umumkan.

“Soalan (berkait PN akan cadangkan Jalaluddin sebagai calon Menteri Besar) ini kepada saya tidak adil kerana BN juga sepatutnya duduk dengan kami.

“Kami tahu kami mahukan siapa, tetapi kalau BN mahukan calon lain, kita duduk bincang,” katanya pada sidang akhbar selepas ceramah umum di Bilik Gerakan BN FELCRA Lakai, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Jalaluddin dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary.

Hamzah yang juga Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan) berkata, PN menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan BN untuk mengumumkan calon Menteri Besar.

“Kami semua mahu supaya ia datang daripada BN, jadi kita serahkan kepada pimpinan BN untuk mengumumkannya,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN