Jaga disiplin kempen PRN atau letak jawatan menteri, timbalan menteri - Utusan Malaysia

Jaga disiplin kempen PRN atau letak jawatan menteri, timbalan menteri

ANWAR Ibrahim menyampaikan 'Rela Patrol Kits' (RPK) kepada anggota Rela pada Program Madani Kita bersama Komuniti Tambun di Dewan Komuniti Taman Perpaduan, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perdana Menteri mengingatkan pemimpin politik yang mempunyai jawatan di peringkat kerajaan Persekutuan agar menjaga etika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang kerajaan Perpaduan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jika berlaku pelanggaran etika berkempan, mereka yang berjawatan di peringkat persekutuan perlu meletak jawatan.

Menurutnya, perkara itu antara yang dibincangkan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof ketika menghubungi mereka semalam.

“Saya singgung tentang kempen PRN Negeri Sembilan. Ada parti yang sama di peringkat Persekutuan tapi ada pertarungan di peringkat negeri, perkara itu tidak mengapa, ini demokrasi, ini dibolehkan dan masing-masing boleh buat tafsiran

“Dalam perbincangan dengan Ahmad Zahid dan Fadillah, kita ingatkan calon calon, terutama yang pegang jawatan menteri, timbalan menteri atau memegang GLC (syarikat berkaitan kerajaan), dia boleh bertarung dalam isu isu negeri.

“Kalau dia pegang jawatan di peringkat Persekutuan dia tak boleh serang, menjadikan itu (kempen PRN) sebagai satu medan politik, kerana dia juga kena jaga disiplin.

“Kalau dia pilih nak buat begitu, dia harus undur daripada jawatan dia sebagai menteri atau timbalan menteri atau agensi tak kira mana mana, bawah Felda atau bawah saya atau bawah Mara atau Risda,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Program MADANI Kita di Dewan Komuniti Taman Perpaduan, di sini hari ini.

Menurutnya, malah beliau sendiri akan meminta mereka meletak jawatan jika melanggarkan etika berkempen PRN.

“Kita minta mereka kawal etika kempen supaya hubungan di peringkat Persekutuan dan negeri baik.

“Macam negeri Perak yang hubungannya kekal baik, kerja boleh dijalankan. Biarlah kita kawal, kalau ada pertarungan pun, di peringkat negeri sahaja,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN