PETALING JAYA: Jabatan Penjara sedang menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti penglibatan mana-mana penghuni atau pihak lain yang cuba menyeludup bahan larangan ke dalam Penjara Sungai Udang menggunakan dron minggu lalu.
Jabatan Penjara dalam kenyataan menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang atau salah laku yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman institusi penjara.
Katanya, langkah-langkah keselamatan akan dipertingkat termasuk penggunaan teknologi, pemantauan risikan, rondaan keselamatan serta kerjasama antara agensi bagi menangani ancaman baharu seperti penyalahgunaan dron untuk tujuan jenayah.
“Kes ini kini masih dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Sehubungan itu, kita tidak akan mengulas lanjut bagi menghormati proses siasatan yang sedang berjalan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan proses perundangan,” katanya, hari ini.
Jabatan Penjara berkata, pihaknya kekal komited dalam memastikan keselamatan, ketenteraman dan integriti institusi penjara sentiasa terpelihara serta akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama PDRM dan agensi penguat kuasa lain dalam membanteras sebarang aktiviti jenayah yang mengancam keselamatan negara.
Kenyataan itu turut merakamkan penghargaan kepada PDRM atas tindakan pantas dan kerjasama strategik yang diberikan dalam membanteras kegiatan jenayah ini.
“Kerjasama erat antara kedua-dua agensi akan terus diperkukuhkan bagi memastikan keselamatan institusi penjara sentiasa berada pada tahap tertinggi serta sebarang cubaan membawa masuk barang larangan dapat dicegah secara berkesan,” katanya.
Pada 18 Julai lalu, dua individu ditahan selepas dipercayai cuba menyeludup tembakau ke dalam Penjara Sungai Udang menggunakan dron dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Kris Satria, Sungai Udang, Melaka.
Serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka dengan kerjasama Balai Polis Sungai Udang.
Hasil pemeriksaan di lokasi telah membawa kepada rampasan beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut termasuk peralatan dron, bahan yang disyaki untuk diseludup, peranti komunikasi serta lain-lain barangan berkaitan bagi membantu siasatan.
Siasatan awal mendapati, suspek lelaki mengaku menerbangkan dron bagi meninjau lokasi pendaratan sebelum menyeludup masuk tembakau kepada seorang banduan.
Siasatan turut mendapati kegiatan itu dipercayai dilakukan hasil pakatan dengan seorang banduan dan usaha mengesan individu terbabit sedang dijalankan dengan kerjasama pihak Penjara Sungai Udang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan Seksyen 58 Akta Penjara 1995 kerana kesalahan berkaitan membawa masuk barang larangan ke penjara. – UTUSAN










