IYRC himpun 1,000 peminat muda bidang robotik

IYRC himpun 1,000 peminat muda bidang robotik

Barisan tetamu kehormat dan kenamaan bersama peminat robotik yang menyertai Pertandingan Robot Belia Antarabangsa ASEAN 2026 (IYRC) di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pertandingan Robot Belia Antarabangsa ASEAN 2026 (IYRC ASEAN) 2026 dibuka secara rasmi kelmarin di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, dengan menghimpunkan lebih 1,000 peminat muda bidang robotik dari 10 buah negara bagi menghadapi cabaran robotik, pengaturcaraan, kejuruteraan dan kecerdasan buatan (AI) selama tiga hari.

Dianjurkan oleh International Youth Robot Association (IYRA) dan My-Robot Sdn. Bhd., serta disokong oleh penganjur bersama Destination Odyssey Travel Solutions, edisi tahun ini menyambut kedatangan peserta berumur antara 4 hingga 18 tahun dari Malaysia, Thailand, Laos, Vietnam, Singapura, Indonesia, Myanmar, India dan China.

Edisi kali ini menyaksikan peningkatan jumlah penyertaan susulan kejayaan edisi 2025 di Iskandar Puteri, Johor yang telah menghimpunkan seramai 800 peserta dari seluruh rantau ASEAN.

Dibahagikan kepada liga Asas (Foundation), sekolah rendah bawah, sekolah rendah atas, sekolah menengah dan terbuka, IYRC ASEAN 2026 memperkenalkan tema berinspirasikan biologi (bio-inspired): Jurassic Intelligence × AI Innovation.

Terinspirasi daripada cara dinosaur beradaptasi, bergerak dan bertindak balas terhadap persekitaran mereka, para peserta muda dicabar untuk mereka bentuk, mengatur cara dan membina sistem kecerdasan buatan serta robotik yang berkeupayaan mengesan secara autonomi, membuat keputusan dan menyesuaikan diri dengan persekitaran yang kompleks.

Program yang berlangsung dari 24 hingga 26 Julai, bertujuan untuk memupuk minat awal dalam bidang robotik, kecerdasan buatan, dan teknologi dalam kalangan pelajar, sekolah serta komuniti, di samping menyokong secara langsung matlamat pendidikan Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serantau.

Majlis perasmian IYRC ASEAN 2026 disempurnakan oleh Pengerusi Penganjur IYRC ASEAN 2026 Philip Tan; Pengerusi Bersama Penganjur IYRC ASEAN 2026 Olivia Ooi dan Naib Presiden Eksekutif International Youth Robot Association (IYRA), Deng Cai Mei.

Philip berkata semasa penganjuran IYRC ASEAN buat julung kalinya di Malaysia, matlamat utama adalah mewujudkan platform antarabangsa membabitkan golongan belia dapat belajar antara satu sama lain menerusi bidang robotik.

“Teknologi tidak mengenal sempadan, inovasi merentasi pelbagai bahasa, dan persahabatan yang terjalin di sini akan kekal seumur hidup buat para peserta muda kita,” katanya.

Selain pembangunan kemahiran teknikal, IYRC ASEAN 2026 turut menampilkan titik pertemuan antara pendidikan belia global dan pelancongan antarabangsa. Dengan kehadiran para peserta yang diiringi ibu bapa, pendidik dan delegasi antarabangsa, acara tersebut menyerlahkan keupayaan Malaysia yang semakin berkembang sebagai pusat persidangan pendidikan dan sidang kemuncak teknologi antarabangsa.

Sementara itu menurut Olivia, tahun ini amat bermakna kerana penyertaan dari India, China dan seluruh komuniti ASEAN yang datang ke Selangor.

“Acara ini membuktikan bagaimana pendidikan, inovasi dan pelancongan boleh bergerak seiring.

“Setiap pertandingan antarabangsa bukan sahaja membuka peluang untuk para pelajar belajar, malah memberi ruang kepada keluarga mereka untuk menerokai kekayaan budaya, makanan, dan kesantunan budi warga Malaysia.

“Acara seperti IYRC membantu meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan pendidikan dan acara berteraskan inovasi,” ujar Olivia .

Majlis perasmian turut dihadiri Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, bersama-sama wakil daripada pelbagai agensi-agensi kerajaan utama dalam sektor pendidikan dan rakan kongsi antarabangsa.

Antara acara menarik yang dianjurkan termasuklah antaranya perarakan bendera serantau, perasmian berinspirasikan biologi, serta bacaan ikrar rasmi oleh peserta dan pengadil utama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN