KUALA LUMPUR: Penyanyi, Syamel, 32, mengakui tidak mudah untuk dia membawakan lagu Bila Kau Tiada yang dihasilkan olehnya sekitar empat tahun lalu.
Menurut Syamel atau Syameel Aqmal Mohd Fodzly berkata hal demikian kerana lagu tersebut amat meninggalkan kesan dan menghiris emosi kepada sesiapa sahaja yang pernah kehilangan ibu.
Justeru, katanya lagu itu hanya dinyanyikan secara langsung satu kali dan setelah itu tidak pernah dibawakannya di mana-mana.
“Lagu Bila Kau Tiada cuma dinyanyikan satu kali ketika konsert saya dan ernie beberapa tahun dulu.
“Itu adalah pertama dan terakhir saya nyanyikan secara langsung, selepas itu saya mampu membawakannya kerana teringat kepada arwah ibu, Wan Faaizah Karim.
“Saya memang tulis lagu itu untuk dia. Ketika itu masih dalam fasa awal dia pergi menghadap Illahi,” katanya.
Syamel berkata demikian selepas sesi pendengaran ketujuh-tujuh lagu dalam album terbaharunya berjudul Pertama.
Wan Faaizah menemui pencipta pada 2021 selepas terpaksa ditidurkan kerana kekurangan oksigen dalam badan.
Arwah meninggal dunia selepas satu bulan dirawat di pusat perubatan swasta di ibu negara.
Menurut Syamel, sehingga hari ini, dia masih terkenang dan merasai kesakitan kehilangan ibu tersayang apatah lagi dia tidak berpeluang untuk berada disampingnya sebelum dijemput Allah.
“Semestinya saya terkenangkan dia. Arwah merupakan orang yang paling rapat dengan saya dan menjadi orang pertama yang mendorong saya masuk dalam bidang nyanyian.
“Saya sedih kerana dia tidak berkesempatan untuk dengar kesemua lagu dalam album pertama saya,” ujarnya.
Bercakap mengenai album Pertama yang dilancarkan semalam, Syamel memaklumkan cukup berpuas hati meskipun ia mengambil masa sepuluh tahun untuk diperdengarkan kepada peminatnya.
“Sepuluh tahun adalah perjalanan yang sangat panjang, rakan-rakan artis lain pun masing-masing sudah mengeluarkan album.
“Tapi itu melengkapkan satu-satu album itu memerlukan lagu-lagu yang kuat. Sebab itulah saya bekerja dengan ramai komposer yang hebat untuk album ini.
“Walaupun sudah satu dekad dalam industri, album ini tetap menjadi salam perkenalan kepada peminat,” ujarnya.
Album Pertama memuatkan tujuh buah lagu yang dihasilkan komposer-komposer berbakat besar antaranya Edry Abdul Halim, Aizat Hamdan dan ramai lagi.
Ketujuh-tujuh lagu tersebut boleh diperdengarkan di semua platform digital termasuk Spotify dan Apple Music.- UTUSAN










