Inisiatif turun padang Agrobank berkesan

Inisiatif turun padang Agrobank berkesan

TENGKU Ahmad Badli Shah Raja Hussin dan Chan Ming Kai bertemu peniaga semasa Program Lawatan Pasar Tani Ampangan di Seremban, Negeri Sembilan semalam. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pendekatan turun padang bagi mendekati golongan penjaja dan usahawan mikro berkesan dalam menyampaikan penerangan serta maklumat mengenai pelbagai bantuan yang disediakan kepada kumpulan sasar itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, sambutan terhadap 10 siri program turun padang yang dilaksanakan Agrobank setakat ini juga menggalakkan.

Menurut beliau, maklum balas yang diterima menunjukkan semakin ramai penjaja dan usahawan mikro memahami kemudahan pembiayaan serta manfaat yang ditawarkan oleh Agrobank dan agensi kerajaan bagi membantu mengembangkan perniagaan mereka.

“Menerusi sesi turun padang ini, mereka lebih mengetahui segala kemudahan, faedah dan manfaat yang ditawarkan oleh pihak bank serta agensi kerajaan.

“Perkara paling penting adalah kita perlu turun padang menyantuni penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara supaya mereka mengetahui pelbagai tawaran yang disediakan, khususnya selepas Perdana Menteri mengumumkan lebuh RM5 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

“Kebanyakan mereka berdepan kekangan modal, terutama dalam keadaan kos operasi yang semakin meningkat sehingga memerlukan tambahan modal bagi meneruskan perniagaan,” katanya ketika ditemui pada Program Lawatan Pasar Tani Ampangan di sini semalam.

Dalam perkembangan sama, Tengku Ahmad Badli berkata, menerusi siri libat urus Agrobank di pasar tani di seluruh negara, pihaknya telah menerima sebanyak 274 permohonan pembiayaan mikro dengan nilai keseluruhan sebanyak RM10.6 juta.

Katanya, jumlah itu termasuk permohonan di bawah Skim Usahawan Tani Agrobank x FAMA yang mendapat sambutan memberangsangkan sejak dilancarkan.

“Kami bukan sahaja menawarkan pembiayaan pada kadar keuntungan rendah iaitu 2.5 peratus setahun malah turut menyediakan program pendampingan meliputi bimbingan pemasaran serta sokongan berterusan selama tiga bulan bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Chan Ming Kai berkata, hasil maklum balas yang diterima menerusi program turun padang itu mendapati ramai peniaga kecil dan penjaja masih memerlukan bantuan serta kemudahan pembiayaan mikrokredit.

“Ini adalah arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya agensi kerajaan dan institusi perbankan mengambil inisiatif turun padang, bukan sekadar menunggu orang datang mendapatkan maklumat, sebaliknya kita sendiri perlu mendekati mereka.

“Sebab itu semua skim bantuan sedia ada termasuk inisiatif baharu perlu diperjelaskan supaya penjaja memahami kemudahan yang ditawarkan, sekali gus memudahkan mereka membuat permohonan.

“Selepas bertemu beberapa penerima sebelum ini, mereka mengakui kemudahan mikrokredit banyak membantu peniaga kecil, khususnya dalam menyediakan pusingan modal.

“Memandangkan terdapat pelbagai agensi kerajaan dan institusi kewangan yang menawarkan bantuan, usaha turun padang perlu dipergiat supaya lebih ramai usahawan dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN