Ingat niat masuk pertandingan nyanyian - Nabila Razali - Utusan Malaysia

Ingat niat masuk pertandingan nyanyian – Nabila Razali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Terus kuat.”

Demikian nasihat yang dititipkan Nabila Razali terhadap peserta Big Stage X Rocketfuel, Sabrina Alias sekiranya dia mahu terus kekal dalam industri seni.

Nabila berkata seseorang artis perlu ‘tolak tepi’ perkara negatif yang berlaku dalam dunia hiburan dan terus melangkah ke hadapan.

“Kalau betul dunia hiburan ini yang dia mahukan, dia harus kuat dan ‘tolak tepi’ semua perkara negatif.

”Kita harus ingat niat kita masuk pertandingan itu kerana nak menyanyi bukan? Jadi, terus kuatkan diri,” katanya sempena sidang media melodi terhangat baru-baru ini.

Sabrina yang tersingkir dari program Big Stage x Rocketfuel dikatakan melalui perjalanan yang sama seperti Nabila yang dahulunya mendapat kecaman gara-gara persembahan vokal yang tidak memuaskan hati netizen.

Kata penyanyi lagu Permata Hati itu, seorang penyanyi harus memberikan sepenuh kesetiaan terhadap karier nyanyian mereka jika mereka benar-benar mengejar perkara itu.

”Buat yang terbaik, atau kembali seperti dulu. Itu yang saya terapkan dalam diri saya. Itu yang saya terapkan ketika permulaan pembabitan dalam industri seni.

”Dulu saya pergi uji bakat sebab saya suka menyanyi sejak kecil lagi. Sebab itu kata-kata negatif tidak memberi kesan kepada saya.

Kalau orang kata nyanyian saya tak sedap, tak mengapa kerana mak kita  kata sedap,” katanya lagi.

Dalam pada itu Nabila berharap Sabrina tahu apa yang dimahukannya dan terus mengejar cita-cita yang diimpikan.

”Kita kena tahu apa yang kita mahu. Kalau kita sendiri tak tahu apa yang kita mahukan, goyahlah kita kalau dikecam,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN