PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak, Bell Ngasri mendedahkan pendapatan golongan pelawak kini tidak lagi semewah dahulu berikutan kekurangan platform televisyen (TV) yang khusus untuk pengisian program jenaka.
Bell atau Nasrizal Ngasri, 46, berkata, perubahan ini menyebabkan peluang kerja bagi pelawak semakin terhad berbanding zaman kegemilangan mereka dahulu.
“Industri lawak sekarang sudah tidak boleh buat duit macam dulu. Kalau kita imbas semula 10 tahun yang lalu, kita ada siaran tersendiri untuk lawak dan stesen TV biasa pun banyak siarkan rancangan lawak, tetapi sekarang agak kurang dan ada juga siaran yang ditamatkan penyiarannya.
“Terus terang saya bagitahu, tiada platform ini sebenarnya membuatkan peluang kerja pelawak dalam televisyen jadi semakin kurang. Bila keadaan ini sudah terjadi, pelawak terpaksa tumpukan perhatian kepada kerjaya lain.
“Kita semua tahu bahawa rancangan besar seperti Maharaja Lawak Mega pun sudah tidak diterbitkan lagi sejak beberapa tahun ini. Pihak penerbitan kini lebih cenderung beralih kepada konsep program muzikal komedi sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Bell menasihati pelawak supaya menggunakan media sosial untuk mempromosikan diri dan tidak hanya bergantung kepada televisyen semata-mata.
“Zaman media sosial sekarang ini, kita boleh hebahkan kandungan dan promosikan diri sendiri. Kalau kita popular di media sosial, stesen televisyen akan panggil kita, malah kita juga boleh jana pendapatan dengan menjual atau mempromosikan produk,” katanya.
Untuk rekod, Bell Ngasri merupakan antara pelawak versatil yang telah bertahan lebih tiga dekad dalam industri hiburan tempatan dan pernah dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular ABPBH ke-35 hasil sokongan peminat. – UTUSAN










