Impian budak autisme naik kereta polis tercapai

Impian budak autisme naik kereta polis tercapai

Muhammad Firdaus Al Fattah Faris Izuddin teruja menaiki kenderaan milik PDRM pada Program Lawatan Khas Kanak-Kanak Autisme ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Setiap kali kami nampak kereta polis atau motosikal peronda, kami akan kejar.”

Demikian kata Fatin Nabila Mohd. Amin, 30, ibu kanak-kanak autisme Tahap 3, Muhammad Firdaus Al Fattah Faris Izuddin, 8, ketika menceritakan minat luar biasa anaknya terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, minat itu mula disedari ketika Firdaus berusia enam tahun selepas sering melihat kereta peronda membuat rondaan di kawasan kediaman mereka di Seksyen 32, Shah Alam.

Katanya, pada mulanya dia dan suami tidak memahami mengapa Firdaus akan mena­ngis setiap kali kenderaan polis hilang daripada pandangan kerana ketika itu anaknya masih belum pandai bercakap.

“Suami saya cakap mungkin kami kena bawa dia dekat polis. Sejak itu, setiap kali jumpa polis kami akan kejar, sama ada kereta peronda atau motosikal polis, asalkan dia dapat tengok.

“Kalau anggota polis lambai dari jauh pun dia sudah gembira, tetapi yang paling dia suka ialah dapat bersalam dengan mereka,” katanya ketika ditemui selepas Program Lawatan Khas Kanak-Kanak Autisme ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah (KPD) Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed menyantuni adik Muhammad Firdaus untuk merasai kenderaan milik PDRM dan merealisasikan impian kanak-kanak itu bersalaman dengan anggota polis.

Firdaus hadir berpakaian lengkap uniform polis merupakan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Bukit Naga itu disahkan menghidap autisme Tahap 3 serta ketidakupayaan intelektual dan kini menjadikan anggota serta aset PDRM sebagai sumber kegembiraannya.

Fatin Nabila berkata, minat mendalam terhadap PDRM turut memberi perubahan positif kepada tingkah laku Firdaus yang sebelum ini sering me­ngalami ‘meltdown’ dan sukar mengawal emosinya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN