IPOH: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menahan 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi penguatkuasa yang dijalankan di 12 premis di sekitar bandar raya ini hari ini.
Pengarahnya, Datuk James Lee berkata, kesemua PATI yang ditahan terdiri daripada 21 lelaki dan seorang wanita berusia antara 25 hingga 45 tahun.
Katanya, mereka ditahan selepas pemeriksaan dilakukan terhadap 38 warga asing yang dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Antara kesalahan dikesan ialah tinggal melebihi tempoh dibenarkan, tidak memiliki pas yang sah dan gagal mengemukakan pasport.
“Daripada jumlah yang ditahan, 16 adalah warga Bangladesh, masing-masing dua warga Indonesia dan Pakistan manakala seorang warga Myanmar dan seorang warga Kemboja,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kesemua warga asing yang ditangkap itu dibawa ke Pejabat JIM Perak untuk dokumentasi dan siasatan lanjut. – UTUSAN










