ICQS sesak, rakyat Malaysia kembali banjiri Thailand

ICQS sesak, rakyat Malaysia kembali banjiri Thailand

SUASANA di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Kelantan kembali sibuk dengan deretan kenderaan Malaysia menunggu giliran untuk masuk ke Thailand. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Kebimba­ngan terhadap insiden letupan bom yang mencederakan dua warganegara Malaysia di Tak Bai, Thailand pada 29 Jun lalu, mula reda apabila ribuan rakyat negara ini kembali berpusu-pusu masuk ke negara berkenaan.

Tinjauan Utusan Malaysia di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini semalam mendapati, deretan kenderaan milik warga tempatan ‘beratur’ lebih satu kilometer menunggu giliran untuk menyelesaikan urusan imigresen sete­rusnya masuk ke Thailand.

Situasi itu memberi isyaratkeyakinan orang ramai terhadap tahap keselamatan di negara jiran itu semakin pulih.

Seorang penduduk mahu dikenali sebagai Hassan, 36, berkata, sebelum memasuki Thailand, dia menghubungi saudaranya di negara berkenaan untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung situasi di Selatan Thailand.

Katanya, maklumat itu penting bagi membolehkannya membuat perancangan sebelum masuk ke negara berkenaan.

“Saya masuk ke sana (Thailand) untuk menziarahi bapa saudara. Ibu saya berasal dari Pattani, ayah pula rakyat Malaysia.

“Walaupun sudah biasa ber­ulang-alik ke Thailand, saya tetap berhati-hati kerana ia melibatkan soal keselamatan,” katanya.

Hasaan percaya pihak keselamatan Thailand sudah mengambil langkah sewajarnya dalam meningkatkan tahap keselamatan.

Seorang lagi penduduk dikenali sebagai Rakiah, 45, berkata, dia terpaksa meneruskan percutian ke Thailand bersama keluarga selepas permohonan cuti diluluskan oleh majikan tiga minggu lalu.

Katanya, walaupun insiden menimpa rakyat Malaysia itu meninggalkan trauma, dia tetap berdoa semoga urusan ke Hat Yai berjalan lancar.

“Lagipun saya dan keluarga datang secara rombongan menggunakan khidmat ejen pelancongan, bukan bersendirian,” ujarnya.

Pada 29 Jun lalu, dua rakyat Malaysia dilaporkan cedera selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 yang dinaiki mereka terkena letupan bom buatan sendiri (IED) di Persimpangan Sapom, Daerah Tak Bai, Narathiwat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN