RAWANG: Ibu kepada Allahyarham Ahmad Shah Ahmad Ros, 26, yang maut akibat ditikam di Korea Selatan hanya mampu menyaksikan detik terakhir anaknya menghembus nafas terakhir menerusi panggilan video daripada menantu.
Zulfah Fadliani, 47, berkata, dia menerima panggilan video dari menantunya, Nurcahaya Ruslan, 30, ketika Allahyarham menerima rawatan di hospital selepas parah ditikam oleh seorang individu ketika meleraikan pergaduhan di Daerah Eumseong, utara republik itu.
Bagaimanapun Ahmad Shah disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 3.30 pagi waktu tempatan.
Katanya, mangsa pada awalnya telah dihubungi oleh rakannya kerana diserang sekumpulan individu sebelum dia tiba di lokasi bersama isteri.
“Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam (waktu Korea), dia sedang berada di rumah bersama isteri sebelum dihubungi oleh seorang rakan juga rakyat Malaysia.
“Menantu saya yang mengikuti Ahmad Shah ke lokasi memberitahu, ketika cuba meleraikan pergaduhan, anak saya secara tiba-tiba ditikam oleh seorang lelaki dengan pisau sebelum melarikan diri secara tiba-tiba,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Bandar Tasik Puteri, Rawang, semalam.
Terdahulu, Ahmad Shah, 26, dilaporkan maut selepas dipercayai ditikam ketika meleraikan pergaduhan berkumpulan di sebuah jalan di Daeso-eup, Daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara.
Difahamkan, kira-kira 10 individu dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu sebelum suspek didakwa mengeluarkan sebilah pisau dan menyerang mangsa.
Suspek disyaki terbabit dalam kes bunuh serta beberapa kesalahan lain dipercayai menikam mangsa menggunakan sebilah pisau.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa telah menahan seorang lelaki warga Malaysia berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan.
Zulfah berkata, anaknya itu mengalami kecederaan serius lepas ditikam pada bahagian perut hingga menyebabkan kehilangan darah sebelum mereka membawanya ke hospital.
Dalam pada itu, dia dan suami meminta mana-mana pihak untuk tidak menyebarkan sebarang spekulasi tidak benar mengenai kejadian yang menimpa anaknya.
Dia juga berharap agar pihak berkuasa di Korea Selatan dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku pembunuhan anaknya.
Dalam pada itu, adik mangsa, Ain Sephia, 25, berkata, jumlah kutipan dana hasil sumbangan orang ramai bagi proses penghantaran pulang abangnya berjumlah RM80,000 iaitu melebihi anggaran asal yang dianggarkan sekitar RM70,000.
Katanya, beberapa urusan dokumentasi masih perlu diselesaikan bersama kedutaan Malaysia di Korea Selatan sebelum jenazah dibenarkan dibawa pulang.
“Setakat ini kami sudah menghantar semua dokumen yang diperlukan. Selepas semua proses selesai, barulah jenazah akan diuruskan untuk dibawa pulang,” katanya.
Allahyarham yang bekerja di sebuah kilang di Korea Selatan sejak 2019 dan telah mendirikan rumah tangga pada April lalu dan merancang pulang ke Malaysia pada Disember ini.-UTUSAN










