CAMERON HIGHLANDS: Walaupun hujan lebat dan laluan trek denai yang mencabar, acara larian tahunan denai Cameron Ultra (Cultra) yang berlangsung dari 16 Julai sehingga hari ini tidak sedikit pun menggugat kecekalan 3,600 peserta dari pelbagai negara.
Malah, acara dianjurkan BOLT 360 Management Sdn. Bhd. (BOLT) sejak 2016 itu turut mencatat peningkatan berbanding 2,600 peserta pada musim lalu.
Acara membabitkan lima kategori ditetapkan bermula dengan jarak empat kilometer (km) hingga sejauh 100km dengan mempertaruhkan ketinggian terkumpul (elevation gain) hampir 10,000 meter.
Peserta mengharungi beberapa lokasi menarik dan terkenal di kawasan peranginan di sini seperti Mossy, Berembun, Habu, Pauh dan sekitar Tanah Rata.
Pengasas BOLT, Hazemi Hamidi berkata, sambutan luar biasa terhadap acara itu membuktikan ia terus menjadi pilihan utama pelari denai tempatan dan antarabangsa.
“Dalam tempoh kurang daripada enam jam selepas pendaftaran dibuka, kesemua slot habis dijual dengan nisbah penyertaan 70 peratus peserta tempatan dan 30 peratus peserta antarabangsa.
“Sejak edisi pertama Cultra pada 2016, jumlah penyertaan peserta luar negara meningkat setiap tahun dan pencapaian ini membuktikan Cultra terus relevan sebagai medan pertembungan pelari denai dari seluruh dunia, sekali gus mengangkat nama Malaysia di peringkat global,” katanya ketika ditemui pemberita kelmarin.
Tambah Hazemi lagi, kejayaan Cultra tidak berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya berkembang secara dinamik dengan pelbagai pembaharuan dilakukan.
Katanya, daripada hanya menggunakan tiang buluh sebagai gerbang permulaan dan penamat pada 2016, kini Cultra berkembang menjadi sebuah festival larian denai bertaraf antarabangsa yang dinanti-nantikan peminat dari seluruh dunia.
“Sempena ulang tahun ke-10, kami meningkatkan kapasiti termasuk mengadakan larian pada sebelah malam selepas menjalankan kajian terperinci bagi memastikan laluan perlumbaan kekal lestari.
“Bagi memastikan kualiti perlumbaan tahun ini kekal tinggi dan berjalan lancar kita juga menggunakan khidmat 500 kru termasuk penduduk tempatan,” ujarnya. – UTUSAN









