Hidup atau mati, saya harap anak saya dijumpai - Salmah 

Hidup atau mati, saya harap anak saya dijumpai – Salmah 

MUHAMMAD Ali Imran Shahir (kanan) ketika turut-serta dalam operasi SAR untuk mengesan bapanya di Dusun Durian Pusat Pertanian Relau, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seorang ibu yang menanggung kerinduan sejak lebih sebulan lalu berharap agar anak lelakinya yang dilaporkan hilang dapat segera ditemui walau dalam apa juga keadaan.

Salmah Shamsudin, 72, iaitu ibu kepada Shahir Zainul, 45, berkata, dia menyerahkan segala ketentuan kepada Allah, namun sebagai ibu tetap berharap dapat menatap wajah anaknya sekali lagi.

Katanya, kehilangan anak bongsunya itu amat meresahkan kerana ia merupakan tempoh paling lama Shahir tidak pulang ke rumah.

“Dia mesti balik selalunya selepas keluar rumah. Ini yang paling lama dia tidak balik. Sebelum ni tidak pernah jadi macam ini,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Dusun Durian Pusat Pertanian Relau, di sini hari ini.

Sebelum ini, polis meminta bantuan orang ramai mengesan Shahir yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Persiaran Mayang Pasir 2, Bayan Baru pada 10 Jun lalu. Mangsa kali terakhir dilihat meninggalkan rumah kira-kira pukul 5 pagi dengan menunggang motosikal.

Menurut Salmah, sebelum keluar rumah pada hari kejadian, tiada sebarang perselisihan faham atau masalah berlaku dalam keluarga yang boleh menjadi punca anaknya menghilangkan diri.

“Saya harap dapat berjumpa dengan dia. Hidup atau mati, kita serah pada Allah. Dah sebulan lebih dah makcik risau. Macam-macam bermain dalam fikiran, tapi apa pun saya harap dapat temui dia,” katanya.

Dalam pada itu, Salmah mengakui sedikit lega apabila operasi SAR dijalankan, namun merasakan usaha pencarian secara besar-besaran itu sepatutnya dilakukan lebih awal.

“Saya rasa lega juga, tapi rasa sedikit terlambat. Kalau awal, mungkin harapan lebih besar. Sekarang ini saya tetap berharap,” katanya.

Operasi SAR hari ini turut disertai anak mangsa, Muhammad Ali Imran Shahir, 15, yang sebelum ini turut berusaha mencari bapanya.

Muhammad Ali Imran berkata, dia menemui motosikal bapanya di kawasan dusun berkenaan ketika melakukan pencarian sendiri pada Sabtu, 13 Jun lalu, namun dia tidak dapat meneruskan pencarian selepas ditahan kerana memasuki kawasan dusun sebelum dihantar pulang oleh pihak polis tanpa menemui bapanya.

Katanya, dia sering menemani bapanya keluar sebelum kejadian itu dan kini hanya berharap operasi SAR yang dijalankan berjaya menemukan semula bapanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN