KOTA BHARU: Ketidaktentuan harga ketika ini mendorong golongan wanita di negeri ini atau ‘Mek Kelate’ menyerbu kedai emas di sekitar bandar ini bagi mendapatkan pelbagai jenis barang kemas.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa premis sekitar Kota Bharu semalam mendapati, pelanggan mula memenuhi kedai emas seawal pukul 10 pagi, sekali gus membuktikan logam berharga itu terus menjadi pilihan masyarakat di negeri ini.
Harga emas semasa ketika ini sekitar RM495 gram.
Seorang pembantu kedai, Noramira Mohd. Zahari, 33, berkata, penurunan harga emas yang ketara menyebabkan lebih ramai golongan wanita tampil membeli barang kemas.
Katanya, perniagaan milik majikannya turut terkesan kerana tidak menjangkakan harga emas turun mendadak sejak sebulan lalu.
“Saya lihat orang Kelantan tidak terlalu berkira untuk membeli barang kemas asalkan mempunyai wang.
“Lagipun ketika harga emas melonjak melebihi RM600 segram, mereka tetap membeli kerana bimbang harganya terus meningkat,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga, Noraini Ismail, 31, berkata, walaupun kehadiran pelanggan masih menggalakkan, jualan barang kemas di premisnya menurun kira-kira 30 peratus apabila harga emas berada di bawah paras RM510 segram.
Katanya, keadaan itu bagaimanapun tidak memberi kesan terlalu besar kerana pelanggan tetap membeli pelbagai jenis barang kemas terutama rantai tangan.
“Sejak harga emas turun, ia memberi kesan kepada perniagaan tetapi tidak terlalu ketara.
“Buat masa ini, saya tidak menambah stok barang kemas yang banyak kerana perlu mengambil kira harga semasa emas yang tidak menentu,” ujarnya. – UTUSAN










