Harga emas susut didorong jangkaan kenaikan kadar faedah Fed - Utusan Malaysia

Harga emas susut didorong jangkaan kenaikan kadar faedah Fed

SEHINGGA lewat petang semalam, Kontrak Berterusan Emas diniagakan rendah 0.54 peratus kepada AS$4,030.10 seauns (RM527.75 segram), berbanding paras tertinggi sepanjang masa AS$5,594 seauns (RM732.55) yang dicatatkan pada Januari tahun ini - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga emas dijangka kekal dalam julat AS$4,000 (RM523.77 segram) hingga AS$4,300 seauns (RM563.08 segram) dalam tempoh terdekat selagi tiada petunjuk ekonomi yang jelas berkaitan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

Ketua Pegawai Eksekutif Nubex Sdn. Bhd., Mohd Faizal Mohd Nor berkata, pergerakan harga emas ketika ini berkait rapat dengan jangkaan terhadap dasar kadar faedah AS, yang lazimnya mempunyai hubungan songsang dengan harga emas.

Katanya, sekiranya jangkaan kadar faedah meningkat, harga emas lazimnya akan tertekan dan berpotensi turun.

“Harga emas mencatat paras tertinggi pada awal tahun berikutan jangkaan Fed akan menurunkan kadar faedah, selain didorong ketidaktentuan geopolitik yang meningkatkan permintaan terhadap aset selamat.

“Ketika ini, terdapat perbezaan pendapatan mengenai kadar faedah iaitu Pengerusi Fed, Kevin Warsh mahu menaikkan kadar, manakala Presiden AS, Donald Trump pula mahu ia diturunkan.

“Buat masa ini belum ada petunjuk yang cukup jelas, menyebabkan harga emas masih bergerak dalam julat semasa tanpa perubahan yang ketara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sehingga lewat petang semalam, Kontrak Berterusan Emas diniagakan rendah 0.54 peratus kepada AS$4,030.10 seauns (RM527.75 segram), berbanding paras tertinggi sepanjang masa AS$5,594 seauns (RM732.55) yang dicatatkan pada Januari tahun ini

Beliau berkata, kesan konflik geopolitik di Asia Barat kini semakin terhad kerana kebanyakan risiko tersebut telah diambil kira oleh pasaran lebih awal.

“Biasanya apabila berlaku sesuatu konflik, harga emas akan naik terlebih dahulu berdasarkan jangkaan pasaran. Apabila konflik itu benar-benar berlaku, kesannya terhadap harga emas tidak lagi begitu besar kerana ia sudah diambil kira dalam penilaian pasaran,” ujarnya.

Menurutnya, harga emas juga cenderung meningkat sekiranya konflik menyebabkan inflasi lebih tinggi atau pertumbuhan ekonomi global menjadi perlahan sehingga meningkatkan kebimbangan terhadap kemelesetan dan kehilangan pekerjaan.

“Sebaliknya, apabila ekonomi berkembang kukuh, pelabur lazimnya mengalihkan dana ke pasaran saham yang menawarkan pulangan lebih tinggi, sekali gus mengurangkan permintaan terhadap emas.

“Emas berfungsi sebagai aset pelindung nilai bagi mengekalkan nilai kekayaan ketika berlaku ketidaktentuan ekonomi atau penyusutan nilai mata wang,” jelasnya.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kejatuhan harga emas walaupun konflik geopolitik masih berlarutan menunjukkan logam berharga itu kini lebih dipengaruhi kekuatan dolar AS dan jangkaan kadar faedah yang tinggi.

Katanya, tanggapan bahawa perang akan sentiasa menyebabkan harga emas meningkat tidak semestinya berlaku dan peningkatan harga sejak awal tahun mendorong ramai pelabur mengambil untung sebaik sahaja berita konflik tercetus.

“Pada masa sama, katanya, pelabur global beralih kepada dolar AS dan bon Perbendaharaan AS sebagai aset selamat, sekali gus mengukuhkan dolar dan menjadikan emas kurang menarik kerana tidak menawarkan pulangan seperti faedah.

“Pasaran juga menjangkakan konflik ini masih terkawal dan tidak menjejaskan bekalan minyak secara serius. Sebab itu premium risiko yang biasanya menyokong harga emas tidak berlaku sepenuhnya,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN