Hannah Yeoh kecewa Dataran Merdeka dipenuhi sampah

Hannah Yeoh kecewa Dataran Merdeka dipenuhi sampah

HANNAH YEOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh meluahkan kekecewaan selepas Dataran Merdeka yang menjadi lokasi tayangan aksi final Piala Dunia 2026 ditinggalkan dengan penuh sampah sarap.

Dalam berterima kasih kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertungkus lumus membersihkan sisa tinggalan peminat bola sepak, Hannah berkata, beliau percaya rakyat Kuala Lumpur amat sayangkan ibu kota tersebut.

Justeru, beliau menzahirkan kekecewaan apabila Dataran Merdeka yang menjadi lokasi sorakan dan kegembiraan ditinggalkan dalam keadaan sedemikian.

“Terima kasih kepada pasukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang segera turun membersihkan kawasan ini. Ketika orang ramai sudah pulang, mereka masih bekerja untuk mengembalikan kebersihan dan keselesaan Dataran Merdeka.

“Ya, saya tahu setiap pembayar cukai berhak mendapat perkhidmatan yang baik. DBKL mesti menjalankan tanggungjawabnya dan mereka melakukannya.

“Tetapi membuang sampah ke dalam tong merupakan perkara asas yang sepatutnya kita lakukan sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hak untuk menerima perkhidmatan tidak bermaksud semua tanggungjawab boleh diserahkan kepada petugas awam.

Katanya, mereka tidak sepatutnya terpaksa membersihkan sampah yang sengaja ditinggalkan.

“Dataran Merdeka bukan sekadar lokasi acara. Ia sebahagian daripada sejarah negara dan maruah kota kita.

“Malaysia Madani bukan hanya tentang kerajaan yang menunaikan tanggungjawab. Ia juga tentang rakyat yang tahu menuntut hak tetapi tidak lupa melaksanakan perkara asas,” katanya.

Ahli Parlimen Segambut itu turut mengulangi ketegasaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang menekannya bahawa kemajuan tidak diukur melalui pembangunan fizikal sebaliknya menerusi sikap dalam menghormati dan menjaga ruang awam.

“Terima kasih sekali lagi kepada seluruh pasukan DBKL yang bertugas. Kuala Lumpur ialah rumah kita. Jangan kotorkan rumah sendiri dan mengharapkan orang lain membersihkannya,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN