Hampir 200,000 pemilik jip, pikap terima tambahan 100 liter Budi Diesel

Hampir 200,000 pemilik jip, pikap terima tambahan 100 liter Budi Diesel

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hampir 200,000 pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip mendapat tambahan 100 liter sebulan di bawah Budi Madani Diesel (Budi Diesel) setakat 4 Julai lalu.

Kementerian Kewangan berkata, kelulusan itu menjadikan jumlah had kelayakan mereka meningkat kepada 300 liter sebulan bermula bulan ini.

Katanya, jumlah tersebut merangkumi lebih 174,000 warganegara di Semenanjung Malaysia dan lebih 22,000 warganegara di Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kemudahan tambahan ini disediakan dengan mengambil kira keperluan penggunaan diesel yang lebih tinggi dalam kalangan pemilik pikap dan jip.

“Ia termasuk untuk kegunaan perniagaan kecil dan sederhana serta pergerakan ke kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut kementerian, kerajaan memahami pemilik pikap dan jip diesel bukan sekadar menggunakan kenderaan untuk perjalanan harian.

Sebaliknya, katanya, kenderaan tersebut turut digunakan bagi mencari rezeki dan mengurus keperluan keluarga.

“Sebab itu, kemudahan tambahan 100 liter ini disediakan. Harapan kita, kemudahan tambahan ini dapat membantu mereka mengurus keperluan diesel bulanan dengan lebih baik,” katanya.

Kementerian Kewangan berkata, kerajaan turut meneliti maklum balas rakyat berhubung penggunaan kenderaan diesel milik ahli keluarga terdekat atau kenderaan yang belum dikemas kini rekod pemilikannya.

Katanya, bagi kenderaan diesel persendirian individu yang digunakan ahli keluarga terdekat berbeza daripada pemilik berdaftar, penerima asal Budi Diesel boleh membuat permohonan pemindahan kelayakan melalui portal rasmi Budi Madani.

“Permohonan itu tertakluk kepada syarat dan pengesahan yang ditetapkan. Sebagai alternatif, pengguna sebenar kenderaan diesel juga boleh mengemas kini rekod pemilikan kenderaan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kerajaan telah melaksanakan pengecualian fi tukar hak milik kenderaan diesel selama tiga bulan mulai 1 Julai 2026 bagi memudahkan urusan tersebut.

“Penambahbaikan ini menunjukkan pelaksanaan Budi Diesel akan terus dipantau dan disesuaikan berdasarkan maklum balas rakyat, supaya manfaat subsidi sampai kepada penerima yang layak tanpa membuka ruang kepada ketirisan dan penyeludupan,” katanya.

Menurut Kementerian Kewangan, setakat 4 Julai lalu, lebih 2,000 permohonan pemindahan kelayakan Budi Diesel diterima melalui portal tersebut.

Katanya, pemilik pikap dan jip diesel yang mahu memohon penambahan 100 liter sebulan serta pemindahan kelayakan Budi Diesel boleh berbuat demikian melalui portal Budi Madani.

Dalam pada itu, kementerian berkata, pelaksanaan Budi Diesel menggunakan MyKad sebagai kaedah pengesahan kewarganegaraan dan kelayakan.

Katanya, mekanisme itu memastikan subsidi diesel disalurkan kepada rakyat Malaysia yang layak, manakala bukan warganegara dan pihak tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi.

“Sejak pelaksanaan akses awal Budi Diesel pada 27 Jun lalu hingga 4 Julai lalu, lebih 336,000 transaksi diesel direkodkan.

“Jumlah itu melibatkan pembelian 12.6 juta liter diesel bersubsidi dengan lebih RM23 juta subsidi ditanggung Kerajaan Madani.

“Subsidi bersasar merupakan manfaat kerajaan untuk rakyat Malaysia yang layak. Pada masa sama, penyasaran subsidi penting bagi memastikan bekalan diesel bersubsidi kekal terjamin dan bantuan tidak disalah guna oleh pihak tidak layak,” katanya.

Menurut kementerian, pelaksanaan Budi Diesel bukan bertujuan menafikan bantuan kepada rakyat yang layak, sebaliknya memastikan subsidi kerajaan disalurkan mengikut keperluan sebenar.

Katanya, langkah itu juga bertujuan menutup ruang ketirisan dan penyeludupan yang merugikan negara berbilion ringgit setiap tahun.

“Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan Budi Diesel dan meneliti maklum balas rakyat serta industri bagi memastikan manfaat subsidi sampai kepada penerima yang layak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN