KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu merancang menjadikan kawasan rekreasi Gunung Berembun di Dungun sebagai antara produk pelancongan bertaraf antarabangsa menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027 menerusi penganjuran pelbagai acara dan promosi bersama media.
Program Eksplorasi Media ke Gunung Berembun yang berlangsung dua hari dengan penyertaan 39 pendaki termasuk tujuh wakil media baru-baru ini adalah antara inisiatif kerajaan negeri memperkenal destinasi berkenaan kepada masyarakat serta pelancong dari dalam dan luar negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, Gunung Berembun memiliki keunikan tersendiri dengan hutan hujan tropika yang masih terpelihara serta air terjun antara tertinggi di Asia Tenggara.
“Saya sendiri pertama kali mendaki Gunung Berembun bersama rakan-rakan media dan mendapati kawasan ini mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai destinasi pelancongan utama.
“Air terjunnya sangat luar biasa. Walaupun saya belum pernah melihatnya sebelum ini, mereka yang pernah sampai ke lokasi itu mengakui keindahannya. Sebab itu kita mahu mempromosikan Gunung Berembun bukan sahaja di peringkat domestik malah ke peringkat antarabangsa,” katanya semasa Program Eksplorasi Media ke Gunung Berembun.
Razali berkata, kerajaan negeri memastikan pembangunan kawasan itu dilaksanakan secara lestari dengan memberi keutamaan kepada aspek keselamatan pendaki serta pemeliharaan alam sekitar.
Katanya, jumlah pendaki dikawal bagi mengelakkan kerosakan terhadap ekosistem setelah berbincang bersama Jabatan Perhutanan Negeri.
“Buat masa ini, kemasukan dihadkan kepada kira-kira 70 pendaki sehari dan kita sedang meneliti cadangan untuk meningkatkannya kepada 100 orang sehari sekiranya keadaan mengizinkan.
“Kita tidak mahu jumlah pendaki mencecah ratusan orang dalam satu masa kerana ia boleh menjejaskan kebersihan, laluan pendakian dan ekosistem hutan,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri turut meneliti keperluan menyediakan kemudahan asas termasuk tandas di lokasi yang sesuai berhampiran laluan pendakian.
Menurutnya, kekuatan utama Gunung Berembun bukan hanya terletak pada keindahan air terjunnya, malah hutan hujan tropika yang masih asli, bebas daripada aktiviti pembalakan serta mempunyai sumber air yang bersih.
“Hutan di sini masih terpulihara, hidupan liar tidak diganggu dan airnya bersih sehingga boleh diminum. Inilah kelebihan yang perlu kita kekalkan,” katanya.
Gunung Berembun berketinggian 1,108 meter dari aras laut adalah sebahagian daripada laluan pendakian terkenal CBL, singkatan kepada Chemerong-Berembun-Langsir yang menjadi antara destinasi pendakian paling popular di Hulu Dungun.-UTUSAN










