KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Fabio Asher dan Nadhif Basalamah membuktikan populariti mereka di Malaysia terus melonjak apabila berjaya menghimpunkan kira-kira 5,000 peminat pada konsert Rumah Hati di Mega Star Arena, di sini, malam tadi.
Jika sebelum ini kedua-dua penyanyi itu hanya tampil di lokasi berkapasiti sekitar 500 hingga 2,000 penonton, konsert kali ini menyaksikan sambutan lebih hebat apabila hampir tiada satu ruang kosong dalam dewan yang tidak dipenuhi peminat.
Hasip pemerhatian Utusan Malaysia, rata-rata penonton berusia bawah 30 tahun mula memenuhi pekarangan dewan seawal kaunter tiket dibuka dengan mengenakan pakaian bertemakan merah hati dan putih pelbagai gaya.
Sambutan luar biasa itu turut membuktikan muzik beraliran ‘galau’ yang dibawakan kedua-dua penyanyi bukan sekadar tular di media sosial, sebaliknya memiliki kelompok peminat setia di Malaysia.

Bagi Nadhif, konsert tersebut menjadi antara momen paling bermakna sepanjang kariernya setiap kali berkunjung ke Kuala Lumpur.
“Saya sendiri sudah hilang hitungan berapa kali datang ke sini, tetapi kali ini sangat berbeza. Melihat 5,000 orang hadir semata-mata untuk konsert ini merupakan satu perasaan yang sukar digambarkan. Terima kasih kerana sudi datang,” katanya.
Selain mempersembahkan lagu-lagu popular, Nadhif turut memperkenalkan gitar baharu yang disifatkannya sebagai gitar idaman.
“Saya juga membawa ‘teman’ istimewa malam ini, iaitu gitar baharu yang sudah lama saya impikan,” katanya.
Nadhif turut mencuri perhatian apabila bergandingan bersama Fabio menyampaikan lagu Semusim, karya komposer tersohor, Tohpati, yang pernah dipopularkan Marcell.
“Rezeki buat saya apabila diberi peluang menyanyikan semula lagu ini. Malam ini
membuatkan saya semakin jatuh cinta kepada Kuala Lumpur,” ujarnya.

Dalam satu lagi momen menyentuh hati, kedua-dua penyanyi itu turut membacakan beberapa pucuk surat daripada peminat yang meluahkan penghargaan kerana lagu-lagu mereka menjadi peneman ketika melalui fasa sukar dalam kehidupan.
Walaupun sistem bunyi dilihat mengalami sedikit gangguan pada beberapa ketika, ia tidak menjejaskan kemeriahan konsert apabila penonton terus menyanyi bersama dan menghayati setiap lagu yang dipersembahkan.

Sementara itu, Fabio Asher yang sinonim dengan vokal bertenaga dan lagu-lagu beremosi tetap memberikan persembahan terbaik walaupun mengakui keadaan suaranya kurang memuaskan.
“Maaf kalau suara saya kedengaran kurang sihat, tetapi saya berjanji akan memberikan yang terbaik buat kalian. Saya membaca semua pesanan yang dihantar menerusi media sosial.
“Segala permintaan lagu saya teliti dan sebab itu malam ini saya membawakan beberapa lagu yang jarang dipersembahkan. Kalau ada yang mahu menangis malam ini, silakan. Saya sudi membantu kalian melepaskan emosi melalui lagu-lagu saya,” katanya.
Konsert yang berlangsung lebih dua jam itu menampilkan sebanyak 23 buah lagu termasuk beberapa segmen duet yang menjadi antara kemuncak persembahan.
Antara lagu yang mendapat sorakan paling gemuruh ialah Tanpa Rasa Bersalah, Rumah Singgah dan Bertahan Terluka nyanyian Fabio, manakala Nadhif memukau penonton menerusi Penjaga Hati, sebelum menutup tirai konsert dengan Kota Ini Tak Sama Tanpamu dan Akhir Yang Manis. -UTUSAN










