Gagasan Madani fikrah Al-Qaradhawi perlu difahami secara holistik

Gagasan Madani fikrah Al-Qaradhawi perlu difahami secara holistik

Perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perasmian Seminar Pemikiran Yusuf Al-Qaradhawi, di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gagasan ‘Masyarakat Madani’ yang diangkat kerajaan hari ini merupakan penterjemahan kerangka pemikiran tokoh ulama kontemporari terkemuka, Allahyarham Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi yang menggabungkan aspek kemasyarakatan dengan teras akhlak dan etika Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencetus istilah itu bermula pada akhir tahun 1990-an bagi menggantikan konsep Civil Society Barat yang memfokuskan kepada persatuan tanpa menyuntik nilai moral serta ketauhidan yang murni.

Menurut beliau, gagasan itu dimuktamadkan selepas beliau mengadakan perbincangan dan memohon pandangan daripada Sheikh Yusuf Al-Qaradawi serta tokoh ulama, Sheikh Taha Jabir al-Alwani yang mencadangkan penggunaan istilah Al-Mujtama’ Al-Madani.

“Terminologi ‘Masyarakat Madani’ ini lebih selamat dan menyeluruh kerana ia bukan sahaja merangkumi ciri-ciri sivil tetapi mempunyai teras Islam, moral, akhlak dan etika yang kukuh.

“Karya Fiqh Daulah tulisan Sheikh Qaradawi merumuskan ratusan hasil penulisan beliau yang sangat relevan dengan realiti semasa.

“Ia bukan sekadar teokrasi atau teodemokrasi lampau tetapi kenyataan masyarakat hari ini,” katanya semasa majlis Seminar Pemikiran Yusuf Al-Qardhawi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau berkata, terdapat kelantangan tokoh ulama berkenaan dalam membela nasib umat Palestin dan mengecam pimpinan Arab yang bersekongkol dengan rejim Zionis Israel.

“Sheikh Qaradawi pernah menegur keras pimpinan Arab dalam khutbah Jumaatnya kerana memilih untuk bersalaman dengan Presiden Israel ketika anak-anak Palestin di Gaza dibunuh, dirampas harta dan dizalimi.

“Apabila pimpinan negara berkenaan menghantar enam orang menteri untuk menemui Sheikh Qaradawi bagi ‘melembutkan’ sikapnya, Sheikh terus bertanya di mana mereka belajar,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, sesetengah pihak yang bersikap dangkal dan cetek ilmu apabila menukilkan cebisan pandangan Sheikh Qaradawi secara terpisah tanpa memahami kerangka fikrah beliau secara menyeluruh.

“Kesedaran kebangkitan Islam hari ini tidak boleh dibiarkan ketandusan idea, emosi melampau, dan sikap tidak toleran yang bercanggah dengan prinsip Wasatiyyah.

“Prinsip Wasatiyyah menuntut kita mendengar, berhujah serta menghidupkan tradisi ilmu dan aqliyyah. Mana mungkin kita membina negara tanpa wacana yang segar,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN