KANGAR: Pembukaan semula laluan feri Kuala Perlis-Satun dijangka membantu Perlis mencapai sasaran lima hingga enam juta pelancong tahun ini, sekali gus merancakkan ekonomi setempat dan mengukuhkan hubungan rentas sempadan Malaysia-Thailand.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, laluan yang mula beroperasi sejak Khamis lalu itu turut memudahkan urusan penduduk Perlis dan Satun yang mempunyai hubungan kekeluargaan sejak sekian lama.
Katanya, sebelum ini mereka perlu mendapatkan kebenaran khas daripada Jabatan Imigresen dan agensi berkaitan untuk menziarahi ahli keluarga di Pulau Panjang, Puyu, Tanjung Gabus dan Tammalang di Satun.
“Kini mereka hanya perlu menggunakan pasport seperti di pintu masuk antarabangsa lain. Kemudahan ini bukan sahaja mempercepat urusan perjalanan, malah memberi keselesaan kepada penduduk yang kerap berulang-alik.
“Saya percaya hampir 90 peratus penduduk di selatan Thailand mempunyai hubungan kekeluargaan dengan masyarakat di Perlis,” katanya di sini semalam.
Sebelum ini, penduduk Satun bergantung kepada bot tambang untuk ke Kuala Perlis atau menggunakan laluan darat melalui Padang Besar dan Wang Kelian yang mengambil masa lebih lama.
Perkhidmatan feri itu menawarkan perjalanan kira-kira 40 minit dengan satu trip setiap hari, iaitu dari Satun ke Kuala Perlis pada pukul 9.30 pagi dan dari Kuala Perlis ke Satun pada pukul 4 petang dengan tambang RM55.
Abu Bakar berkata, laluan tersebut turut dijangka mengurangkan kesesakan di pintu sempadan darat terutama pada musim cuti, selain menjadi pintu masuk alternatif kepada pelancong dari Thailand.
Beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan lima hingga enam juta pelancong ke Perlis tahun ini mampu dicapai, disokong pembukaan laluan feri berkenaan yang menawarkan perjalanan lebih singkat serta panorama laut yang menarik.-UTUSAN










