PETALING JAYA: Felda mesti terus diperkukuh sebagai institusi yang mengangkat martabat peneroka dan keluarga mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kebajikan setiap generasi peneroka perlu berjalan seiring dengan usaha memperkukuh daya saing ekonomi dan kelestarian Felda.
Menurutnya, perhatian juga perlu diberikan kepada isu-isu yang dihadapi generasi baharu peneroka.
“Saya tegaskan bahawa Felda mesti terus diperkukuh sebagai institusi yang mengangkat martabat peneroka dan keluarga mereka.
“Kebajikan setiap generasi peneroka perlu berjalan seiring dengan usaha memperkukuh daya saing ekonomi dan kelestarian Felda, termasuk memberi perhatian kepada isu-isu yang dihadapi generasi baharu,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Anwar menerima kunjungan Pengerusi Felda baharu, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir, semalam.
Anwar berkata, beliau yakin Ahmad Badri mampu meneruskan agenda pemulihan dan pengukuhan Felda menerusi amanah yang diberikan.
“Saya yakin dengan amanah yang dipikul, saudara Ahmad Badri mampu meneruskan agenda pemulihan dan pengukuhannya.
“Kerajaan Madani akan terus memberikan sokongan penuh demi memastikan institusi rakyat ini terus maju dan kekal relevan untuk generasi akan datang,” katanya. – UTUSAN










