Enam mengaku bersalah belasah, peras warga China

Enam mengaku bersalah belasah, peras warga China

ENAM lelaki termasuk warga China dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini bagi menghadapi melakukan pemerasan dan mencederakan warga China. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Enam lelaki termasuk seorang warga China mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan termasuk menyebabkan kecederaan menggunakan dua batang besi, melakukan pemerasan serta tinggal di Malaysia tanpa pas yang sah.

Kesemua tertuduh, Shamsul Arif Sadon, 42; Chee Yee Hao, 32; Chong Man Fai, 26; Tan Cheng Hock, 33; Mohamad Ajmal Kunumon, 27; dan Chen Xianfei, 40, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Bagi pertuduhan pertama, Shamsul Arif, Chee, Chong, Tan dan Mohamad Ajmal didakwa secara bersama-sama dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki warga China, Zhang Xiaobiao, menggunakan dua batang besi.

Kesalahan didakwa dilakukan antara pukul 7 malam 20 Julai hingga kira-kira pukul 2 pagi, 21 Julai lalu di sebuah unit di A-13-08, Tower A, Admiral Residence, Jalan KLJ 2, Melaka Tengah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Bagi pertuduhan kedua, Chee bersama Chen didakwa melakukan pemerasan terhadap seorang lagi warga China, Huang Ruidian, dengan merampas sebuah jam tangan mewah jenama Patek Philippe tanpa alasan yang munasabah di lokasi dan tempoh masa yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Chen turut didakwa atas satu lagi pertuduhan kerana berada di Malaysia tanpa memiliki pas yang sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya, S. Thivia memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada kesemua tertuduh.

Peguam bela, Yong Jei Beng bagaimanapun memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya telah insaf selain telah ditahan di lokap selama antara empat hingga tujuh hari.

Beliau berkata, kebanyakan tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai tanggungan keluarga, manakala ada yang bekerja sebagai pekebun.

Menurutnya, kesemua mereka saling mengenali dan kejadian itu berpunca daripada perselisihan faham berkaitan wang.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM6,500 atau lapan bulan penjara terhadap setiap daripada lima tertuduh bagi kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan pemerasan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Chee dan Chen masing-masing didenda RM4,500 atau lapan bulan penjara.

Chen turut didenda RM5,000 atau lapan bulan penjara bagi kesalahan berada di Malaysia tanpa pas yang sah mengikut Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN